rap

Dua juara ada kelebihan, kekuatan tersendiri - Ramli MS

Oleh Rudy Imran Shamsudin

MEMILIKI kelebihan dan kekuatan tersendiri membuatkan dua pesaing terdekat dalam program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6) iaitu Naqiu dan Hady Mirza dipilih juri tetap dan jemputan untuk meletakkan mereka sebagai juara bersama.

Penjelasan itu diberikan Datuk Ramli MS selaku ketua juri GV6, selepas pengumuman kemenangan bersama Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Wan Najib dan Hady Mirza dibuat produksi Astro malam tadi itu mendapat kritikan penonton di laman sosial terutama Twitter.

Turut menjadi juri tetap program GV6 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) penyanyi berpengalaman dari Indonesia, Hetty Koes Endang, sementara pereka fesyen tempatan, Datuk Rizalman Ibrahim dijemput kembali sebagai juri jemputan.

Ditemui di majlis sidang media sebaik pengumuman pemenang dibuat, Ramli menegaskan Hady memiliki kelebihan dari sudut teknikal dan pengalaman sementara Naqiu mempunyai kelebihan dari sudut intelektual dan penghayatan.

“Apabila markah diberikan juri dikira kedua-dua peserta ini memperoleh 87 peratus dan juri jemputan juga memberikan markah sama kepada mereka berdua.

“Ini pertama kali berlaku dan apabila semua juri berbincang kami bersependapat bahawa seharusnya kedua-dua diumumkan pemenang tanpa ada bantahan.

“Perkara ini turut dibincangkan dengan pihak penerbitan serta penyiar dan mereka bersetuju,” katanya.

Katanya, sewaktu segmen ‘battle’ antara Hady dan Naqiu, sepatutnya persembahan itu menjadi medan persaingan buat dua penyanyi itu dan cuba ‘membunuh’ antara satu sama lain, tetapi tidak bagi juara bersama terbabit apabila mereka mengadakan persembahan sangat seimbang dan seiring.

“Sebelum ini sepanjang GV6 berlangsung kita dapat lihat Naqiu dan Hady bersaing. Ada yang mahu Hady menang dan begitulah sebaliknya. Jadi sekarang apabila dua-dua bergelar juara mereka patut gembira.

“Andai ada yang mahu salah seorang ini memperoleh tempat kedua, mereka harus menilai kembali niat hati masing-masing. Kita seharusnya percaya kepada rezeki yang ditetapkan Allah buat dua penyanyi ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad menegaskan bahawa kemenangan bersama Naqiu dan Hady bukanlah sesuatu yang dirancang awal Astro.

Katanya, pada waktu sama pihak produksi menyerahkan keputusan terbabit kepada juri sepenuhnya.

“Apabila pihak produksi memperoleh keputusan diberi juri, kami bertanya adakah itu yang juri GV6 mahukan?

“Kalau benar kami akur, walaupun dalam waktu sama nilai hadiah seorang lagi pemenang terpaksa ditanggung pihak Astro,” katanya.

Mengenai piala yang diberikan kepada kedua-dua pemenang seakan pihak produksi sudah bersedia dan merancang kejutan itu katanya, satu piala yang diberikan adalah ‘mock-up’ yang selalu digunakan untuk urusan promosi.

“Selepas ini seorang pemenang akan menerima piala yang sebenar dan mengenai jumlah hadiah berupa wang tunai dan hadiah iringan kami akan sediakan. Itu bukan masalah kerana GV6 punya banyak penaja,” katanya.

Di malam konsert akhir GV6, Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib mendendangkan lagu Srikandi Cintaku nyanyian asal Bloodshed memulakan persembahan dengan bermain gitar dan kemudian menunjukkan kemampuan vokalnya yang mantap.

Penghayatan tinggi diberikan dalam persembahan Naqiu turut memukau penonton di Auditorium MBSA dan di rumah. Sewaktu segmen ‘battle’ dia bersaing bersama Hady Mirza.

Persembahan yang dilakukan Hady Mirza secara solo mendendangkan lagu Ku Bersuara nyanyian asal Ernie Zakri, juga mendapat pujian ketiga-tiga juri.

Sementara itu seperti dijangka, bekas penyanyi utama Black Dog Bone, Jatt Ali memenangi tempat ketiga.

Turut layak ke peringkat akhir GV6, kumpulan hip hop, One Nation Emcees, Nurfatima dan bekas penyanyi utama kumpulan Visa, Sham.

Juara GV6 menerima hadiah wang tunai RM100,000 berserta piala dan pakej percutian sementara naib juara menerima RM50,000, piala dan pakej percutian.

Pemenang tempat ketiga menerima hadiah berupa wang tunai RM30,000 dan pakej percutian.

Berita berkaitan

Kejutan dua juara Gegar Vaganza

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 5:28pm
d