rap

'Sakit' putus cinta

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEJAYAAN single pertama, Yang Terindah dengan jumlah 31 juta tontonan di YouTube menjadikan kerjaya nyanyian pelawak, Achey semakin berkembang.

Meskipun kehadirannya perlu bersaing dalam kalangan penyanyi profesional, Achey, 33, atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah tetap optimis dengan bakat dimiliki.

Malah, Achey yang juga juara program Bintang Mencari Bintang musim pertama yakin kelebihan dari segi melodi dan lirik lagu ditampilkan mampu menarik minat pencinta muzik tempatan.

Terbaru, Achey muncul menerusi single ketiga, Sakit yang diilhamkan daripada kisah sebenar dan pengalaman sahabat baiknya yang ‘merana’ kerana putus cinta.

“Dua lagu sebelum ini mengenai isteri dan anak saya, tapi kali ini ia berkenaan sahabat. Dia putus cinta yang ketika itu sudah merancang untuk bertunang. Namun, hanya kerana kekasihnya memandang dari segi luaran, sahabat saya itu ditinggalkan.

“Pengalaman dilalui itu buatkan dirinya kecewa. Setiap orang ada cerita tersendiri apabila putus cinta. Jadi, mungkin sahabat saya itu tidak dapat terima.

“Jadi, perasaan dan kisah dilalui itu saya terjemahkan menerusi lirik lagu ini selain menambah sedikit melodi dalam lagu ini supaya ia lebih sedap dan tersentuh,” katanya.

Lagu ciptaan Shuk Aziz dan Achey serta lirik Achey itu sudah disimpan sejak setahun lalu dan baru kali ini dia bersedia untuk lancarkan.

“Komposer asal iaitu Shuk adalah kawan kepada kawan saya. Dia orang biasa yang minat cipta lagu. Kami berjumpa di satu program dan dia bertanya sama ada saya mahu lagu. Saya pun ambil nombor telefonnya.

“Dia beri saya dengar dan melodi sedap. Kebetulan sahabat saya tadi bercerita masalah dihadapi. Jadi, saya ubah lirik berdasarkan pengalaman sahabat itu.

“Sebenarnya, agak lama juga nak terima lagu ini. Saya simpan setahun. Ketika itu lagu ini agak kosong, jadi saya tak ketengahkan. Tak ada jiwa. Jadi saya kena ubah sikit ikut apa saya rasa dan nak ketengahkan.

“Dalam masa sama, saya berasakan dia berbakat besar, tak salah nak ketengahkan. Apa yang penting sentuhannya kena dengan diri saya,” katanya.

Achey berharap lagu itu diterima baik, sekali gus mesej yang ingin disampaikan berjaya difahami.

“Saya nak lagu meletup dan diterima ramai. Saya harap ramai yang ‘cover’ lagu ini, sebab suka tengok orang yang ‘cover’ lagu saya sebelum ini.

“Bagi remaja, saya percaya mereka suka ‘cover’. Saya tak harap sampai peringkat Anugerah Juara Lagu (AJL) sebab sedar kemampuan. Cuma, kalau diterima ramai dan disokong untuk menjadikan lagu ini dalam kelompok itu saya berbesar hati,” katanya.

Lagu dan muzik video Sakit dilancarkan serentak di semua platform muzik digital dan saluran YouTube Seventeen Eleven Music bermula Jumaat lalu.

Sehingga kelmarin, MV itu sudah trending di kedudukan nombor empat dengan mencecah 700,000 tontonan.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 6:00am
d