rap

Santai muzik jalanan

Oleh Syanty Octavia Amry

SENI muzik jalanan atau buskers semakin mendapat tempat di hati masyarakat di Malaysia.

Jika dulu, untuk mengadakan persembahan di jalanan ini agak sukar kerana tidak semua tempat menyediakan ruang selesa.

Namun kini tidak hanya di luar bangunan, malah ada sesetengah pusat beli-belah turut menyediakan ruang untuk buskers membuat persembahan.

Semakin hari penggiat seni buskers semakin bertambah dan dapat dilihat persembahan mereka sering menjadi perhatian dan tumpuan ramai.

Justeru, dalam mengangkat martabat seni muzik buskers ini, Astro Prima tampil dengan sebuah program yang diberi nama My Buskers.

Mula menemui penonton sejak 12 Disember lalu, My Buskers turut menampilkan beberapa artis popular membuat persembahan.

Mereka ialah Adira Suhaimi, One Nation Emcees (ONE), Datuk Hattan, Lan Solo, Hujan, Bunkface, Black, Jaclyn Victor, Mark Adam dan ramai lagi.

Selain itu, persembahan mereka turut diiringi tiga kumpulan buskers iaitu Genji Buskers, Sara-Sara dan Gersik.

Berkongsi mengenai perkara itu, ONE yang turut terbabit mengakui teruja kerana ini pertama kali mereka mengadakan persembahan di tempat terbuka seperti itu.

Walaupun Mimi sebelum ini pernah menyanyi buskers secara solo, baginya penampilan bersama ahli ONE yang lain adalah satu pengalaman yang menarik.

“Kami teruja kerana pertama kali menyanyi bersama-sama di tempat terbuka seperti ini.

“Tiada rasa kekok sebaliknya seronok melihat orang ramai berkumpul menyaksikan persembahan kami.

“Malah kami tidak segan untuk menari seperti mana mengadakan persembahan di pentas,” katanya.

Program 11 episod itu disiarkan setiap Khamis bermula jam 9 malam selama satu jam.

Menggunakan lokasi sekitar Lembah Klang, My Buskers juga adalah program amal di mana sebahagian dana yang dikutip akan disumbangkan kepada artis di bawah naungan Seniman.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 6:05am
d