rap

Fasha Sandha kecewa sikap buruk peminat

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PELAKON popular Fasha Sandha kecewa dengan tindakan seorang peminat mendakwa serta memfitnahnya sebagai seorang yang sombong semata-mata kerana tidak mahu bergambar dengannya.

Fasha berkata, ketika kejadian dia sedang beratur di kaunter bayaran sebuah restoran bersama anak-anak rakan baiknya sebelum seorang peminat wanita datang menegur untuk bergambar dengannya, baru-baru ini.

Menurut Fasha, ketika itu dia sedang menguruskan anak-anak rakannya itu.

“Saya meminta peminat itu tunggu sebentar kerana saya sedang menguruskan anak-anak rakan saya, tetapi apabila saya mencarinya semula, dia sudah tidak ada. Saya turut bertanyakan kepada pembantu saya di mana peminat itu menghilang.

“Saya tidak menolak untuk bergambar, sebaliknya saya menyuruh dia tunggu sebentar hingga urusan saya selesai,” katanya.

Fasha berkata, peminat seharusnya lebih peka dan prihatin untuk bergambar jika seseorang artis sedang melakukan beberapa perkara atau berada dalam situasi yang boleh menimbulkan bahaya.

“Peminat harus peka sekiranya seorang artis itu sedang mengawasi anak-anak kecil. Leka kerana melayani peminat boleh menyebabkan anak hilang atau lebih buruk lagi diculik.

“Begitu juga jika artis sedang berurusan di bank atau mesin ATM. Meminta untuk bergambar ketika itu boleh menyebabkan berlaku kecurian atau keciciran kerana leka melayan peminat.

“Begitu juga jika artis terbabit sedang makan bersama keluarga atau rakannya. Ia adalah perbuatan yang tidak manis dan kurang baik,” katanya.

Fasha berkata, sebagai peminat yang sayangkan artis kegemaran mereka, sudah tentu faham akan keadaan atau situasi dinyatakan dan mereka harus belajar serta jadikannya pengajaran.

“Peminat setia saya faham dengan perkara ini. Mereka tahu saya sangat pentingkan kebajikan dan keselamatan anak-anak. Tidak kiralah anak sendiri, anak saudara, anak rakan ataupun anak peminat saya. Menjaga keselamatan dan kebajikan anak-anak bagi saya tiada kompromi,” katanya.

Menurut Fasha, sekiranya peminat terbabit bersabar, pasti dia dapat bergambar dengannya.

Fasha sebelum itu memuat naik gambar dia bersama anak-anak rakannya yang didakwa diambil secara curi berserta tulisan memburuk-burukkan Fasha oleh peminat terbabit.

“Mengambil gambar curi, menyebarkannya serta menyatakan perkara tidak benar dan memfitnah adalah perkara sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2019 @ 3:49pm
d