rap

3 hari 1 juta tontonan, Achey tak perlu gimik

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAWAK yang kini bergelar penyanyi, Achey mencatat rekod peribadi apabila muzik video lagu terbarunya, Sakit mencatat lebih satu juta tontonan selepas tiga hari dimuat naik di YouTube tanpa sebarang gimik.

Ia juga menjadi muzik video pertama terbitan syarikat rakaman Seventeen Eleven Music mencatat jumlah itu di YouTube.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah berkata, dia yakin bahawa sesuatu karya yang berkualiti tidak memerlukan sebarang gimik atau kontroversi untuk diterima dengan baik.

"Alhamdulillah, selepas tiga hari pertama, jumlah tontonan sudah melebihi satu juta tontonan. Setakat hari kelima hari ini, jumlah tontonan sudah mencecah 1.78 juta," katanya kepada Harian Metro.

Menurut anggota kumpulan Bocey ini, dia tidak menjangkakan sambutan yang diterima selepas lagu dilancarkan sangat menggalakkan.

"Saya percaya kepada kekuatan karya itu sendiri. Kalau saya nak buat gimik, saya nak buat gimik apa? Kehidupan saya pun tak ada sebarang gimik dan orang pun tahu bagaimana hidup saya.

"Kalau saya buat gimik, mesti orang akan nampak pelik dan ia akan boleh dijangka oleh peminat. Jadi, saya lancarkan seperti biasa dan alhamdulillah, Sakit diterima dengan sangat baik," katanya.

Di ruangan komen muzik video muzik lagu ciptaan Shouk Azis dan Achey itu, rata-rata menyatakan perasaan mereka tersentuh kerana ia seperti kena dengan pengalaman mereka

Muzik video Sakit diarahkan Achey dengan menggunakan konsep 'Mat Motor' yang digarap dengan kisah cinta berdasarkan pengalaman kenalannya.

Terbaru, Achey masih lagi bergelar peserta program realiti Maharaja Lawak Mega 2019 dan bakal hadir dengan beberapa program permotoran di samping program di saluran YouTube Bocey.

Disiarkan pada: December 26, 2019 @ 5:01pm
d