rap

Terpadamnya kerlipan bintang...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEMERIAHAN industri hiburan tahun ini turut diselangi dengan khabar duka menerusi kehilangan beberapa bintang terkenal dan penggiat seni tempatan.

Pemergian mereka bukan saja memberi kesan Kepada keluarga dan peminat tercinta, tapi mengejutkan ramai pihak terutama yang pernah bekerjasama dengan mereka.

Ada antaranya disahkan meninggal dunia akibat menderita sakit kronik, begitu juga yang menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan.

Buat yang pergi, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Salam takziah buat seluruh keluarga. Al fatihah.

1. Datuk Nassier Wahab

Penyanyi popular era 1980-an, Datuk Nassier Wahab, 57, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur akibat kanser rahang pada 5 Disember lalu.

Terdahulu, Nassier pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, 1 Jun lalu.

Beliau mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.

2. Pitt Hanif

Jenazah pengarah filem dan drama, Firdaus Hanif atau Pitt Hanif, 43, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 27 Oktober lalu selepas terjatuh daripada bot ketika memancing di Sungai Jelai, Lipis, Pahang pada 26 Oktober.

Pasukan SAR menemui mayat anak kepada pelakon veteran, Fauziah Nawi itu kira-kira 500 meter dari lokasinya dilaporkan terjatuh.

Pitt dilaporkan dalam fasa terakhir menyiapkan sesi penggambaran filem Coast Guard yang memulakan penggambaran sejak lebih dua bulan lalu.

3. One II 4U2C

Bekas anggota 4U2C, Nirwan Irwan atau One II meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 22 Oktober akibat tibi.

Sebelum itu, Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL pada 20 Oktober selepas mengalami batuk berpanjangan.

One II menyertai kumpulan rap popular itu pada 1996 selepas berlaku perpecahan anggota asal dan sempat merakamkan album Kembalilah Fiona.

4. Kamal Chilok

Anggota kumpulan lawak Chilok, Mohd Kamal Shah Saharuddin, 30, atau Kamal Sumbu meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada 12 Oktober lalu.

Kamal mengalami pendarahan dalam kepala, patah bahu dan kaki selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Putrajaya, jam 2 petang pada 10 Oktober lalu.

Ketika kejadian, dia dalam perjalanan menghantar pesanan makanan patin tempoyak yang diusahakannya kepada pelanggan.

Kamal pernah menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM) pada 2016 dan 2018 selain merangkul naib juara Bintang Mencari Bintang pada 2014.

5. Shazroul AF4

Penyanyi dan bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Shazroul Fazlie meninggal dunia pada 2 Oktober lalu selepas dua minggu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Shazroul sebelum ini menjalani pembedahan kali kedua di bahagian usus yang dijangkiti kuman pada 21 September lalu.

Sepanjang kerjaya seninya, Shazroul pernah menghasilkan album berjudul Cuma, selain berduet dengan Adzrin Azhar menerusi lagu Pencuri Hati.

6. Yazit Search

Bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, 57, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 26 September lalu.

Yazit dimasukkan ke HKL dua hari sebelumnya selepas mengadu sesak nafas di rumahnya di Taman Melati, Kuala Lumpur.

Sebelum ini arwah pernah dimasukkan ke hospital sama pada 3 September lalu akibat masalah pernafasan tetapi dibenarkan keluar dua hari selepas itu.

7. Raja Ahmad Alauddin

Pengarah filem Hati Bukan Kristal, Raja Ahmad Alauddin Raja Mohamed Redzuan meninggal dunia dalam tidur di rumahnya di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, 29 Ogos lalu.

Kejadian disedari rakannya pada jam 6 pagi selepas panggilan telefon tidak berjawab menyebabkan mereka bergegas ke kediamannya.

Difahamkan, rakan arwah menghubungi polis dan bomba bagi mendapatkan bantuan selepas ketukan pintu tiada tindak balas.

Pihak bomba yang berjaya memasuki kediamannya mendapati Raja Ahmad Alaudin terbaring di katil dan sudah meninggal dunia.

8. Mior Ahmat Zaudi

Pelakon, Mior Ahmat Zaudi, 66, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada 1 Januari lalu akibat masalah jantung dan pendarahan dalam otak.

Sepanjang hayatnya Mior sudah membintangi pelbagai drama antaranya drama bersiri Spektra dan drama purba Kota Setia terbitan HVD Home Video (M) Sdn Bhd pada pertengahan 1990-an.

Allahyarham juga pernah membintangi filem Momok arahan M Jamil pada 2009.

9. Wafa Abdul Kadir

Pelakon Wafa Abdul Kadir, 52, meninggal dunia di kediamannya di Petaling Jaya pada 16 Mac lalu akibat kanser peritoneal.

Pada 2014, Wafa yang dikenali menerusi filem Azizah The Legend itu disahkan menghidap kanser ovari dan terpaksa menjalani pembedahan membuang ovari, rahim, ormentum dan tiub falopio setahun selepas itu.

Sejak 2016, Allahyarham sudah menjalani lebih 18 pusingan rawatan kimoterapi dan disahkan menghidap kanser peritoneal, tahun lalu.

10. Datuk A Rahman Hassan

Penyanyi terkenal era pop yeh yeh, Datuk A Rahman Hassan meninggal dunia pada usia 73 tahun di Hospital Ampang pada 13 Jun lalu.

Rahman yang popular pada era 1960-an bersama Orkes Nirwana menerusi lagu Tak Mengapa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang.

Kejadian yang berlaku pada 10 Jun lalu itu menyaksikan A Rahman diselamatkan serta dihantar ke hospital menaiki ambulans.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 5:01am
d