rap

Peminat Indonesia menangis jumpa Ejen Ali

Oleh Najiy Jefri

PELAKON alih suara filem Ejen Ali The Movie, Ida Rahayu Yusoff tergamam dan terkejut apabila peminat filem animasi itu di Indonesia menangis apabila berjumpa dengannya selepas majlis tayangan perdana filem berkenaan di CGV, Grand Indonesia, Jakarta, semalam.

Ida yang melakonkan watak Ejen Ali ketika ditemui berkata, kehadiran peminat yang seakan ‘histeria’ secara tidak langsung membuatkan dia turut sebak dengan sambutan luar biasa itu.

“Saya langsung tak sangka akan menerima maklum balas positif sebesar ini. Jika peminat di Malaysia mempunyai cara tersendiri untuk menghargai tapi di Indonesia saya terkejut dengan respon yang mereka berikan.

“Saya gembira dan segala penat lelah menjayakan filem ini terbayar hingga membuatkan saya nak buat lagi filem ini.

“Saya tergamam apabila ada beberapa peminat yang menangis melihat saya depan mata. Mereka berulang kali meminta saya mengeluarkan suara Ejen Ali,” katanya.

Menurut Ida, sepanjang sesi ramah mesra bersama peminat di Indonesia itu, rata-ratanya amat mengagumi semangat Ejen Ali yang tidak mengenal erti putus asa dan ia memberi impak kepada kehidupan mereka.

“Mereka cerita bagaimana Ejen Ali memberi impak kepada kehidupan peribadi masing-masing. Keperibadian Ejen Ali yang selalu ingin membantu orang dan tidak menyerah kalah diambil sebagai contoh murni dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Ejen Ali The Movie yang sudah mencatat kutipan lebih RM28 juta selepas 28 hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei kini mengorak langkah ke Indonesia.

Ia bakal ditayangkan di 100 pawagam seluruh Indonesia bermula 1 Januari ini.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mensasarkan lebih 1 juta penonton ke panggung wayang tahun depan.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 3:27pm
d