rap

Aina Abdul tak besar kepala lah

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Aina Abdul menafikan dakwaan dirinya mula besar kepala selepas lagu nyanyiannya Sumpah layak ke Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34) tahun depan.

Aina, 26, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani berkata, dia tidak mahu bermusuh dengan mana-mana pihak yang memberikan komen atau beranggapan dirinya sebegitu.

“Saya takkan balas komen sebegitu. Untuk seketika masa, saya kena pertahankan diri. Saya tak nak tersalah cakap. Lagipun, untuk sampai tahap ini, semua orang bebas bercakap.

“Tapi, untuk diri saya sendiri, saya tak nak bermusuh dengan sesiapa pun. Semua orang ada hati. Saya percaya semua orang ada baik buruk.

“Kalau ada orang cakap saya macam itu, mungkin perlu kenal saya lebih dalam. Begitu juga saya. Bagi saya, ini semua mengenai komunikasi. Mungkin juga cara saya ada yang salah. Tapi, dalam perkara sebegini ia membabitkan komunikasi dua hala,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aina yang juga bekas peserta program Mentor Legend, dia akan okay jika sudah saling mengenali.

“Dalam keadaan sebegini, alasan mudah saja iaitu kita tak saling mengenali dengan lebih mendalam lagi.

“Apabila sudah lebih kenal, kita akan okay,” katanya.

Berkongsi mengenai persiapan ke AJL 34, Aina berkata, dia akan bertarung habis-habisan untuk memberikan kelainan pada persembahan.

“Setakat ini saya boleh katakan sebanyak 40 peratus persiapan sudah dilakukan. Ini kali pertama saya berjaya melangkah ke pentas berprestij AJL sudah tentunya saya dan pasukan banyak ‘brainstorm’ dengan melihat semula persembahan kesemua finalis tahun lalu.

“Kami cuba nak buat suatu konsep yang masih belum lagi pernah dibuat oleh mana-mana finalis sebelum ini. Saya tak boleh jelaskan lebih lanjut, tunggu saja nanti.

“Buat masa ini, saya belum ‘all out’ lagi jaga pemakanan seperti tidak minum ais dan sebagainya tetapi masuk sahaja bulan Januari, saya akan buat latihan vokal selain pergi ke pusat gimnasium untuk tingkatkan stamina menjelang malam kemuncuk AJL 34,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 8:15pm
d