rap

Solo? Biar rahsia - Azlee Khairi

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON, Azlee Khairi, 30, selesa mengunci mulut mengenai status dirinya yang didakwa sudah solo.

Azlee berkata, tidak ada apa yang perlu dikongsi mengenai kehidupan peribadi terutama status perkahwinannya berbanding kerjaya.

"Biar rahsia dan saya tidak mahu menyakiti hati sesiapa. Apatah lagi, kemunculan semula saya dalam lakonan adalah peluang kedua.

"Malah, menjadi azam saya pada 2020 untuk lebih memberi fokus pada memantapkan karier lakonan selagi ada rezeki," katanya.

Menurut Azlee atau nama sebenarnya Azlee Khairi Zulah Hainee, sudah tiba masa untuk dia tidak lagi melepaskan peluang dalam kerjaya seni yang pernah dibina sebelum ini.

"Lima tahun menghilangkan diri daripada industri hiburan sudah cukup buat saya. Sekarang masa untuk mengatur langkah baru.

"Kisah peribadi saya, tidak perlulah menjadi perhatian," katanya yang kini terbabit penggambaran drama Maaf Tak Indah untuk TV3.

Ditanya kesediaannya untuk berhadapan gosip dan cerita sensasi, Azlee berkata, dia akan menjaga batas pergaulan.

"Setakat ini, memang cabaran buat saya apabila digandingkan dengan rakan pelakon wanita yang berstatus isteri dan tunangan orang.

"Cuma, saya pastikan akan berbincang dengan mereka untuk melakonkan babak romantik serta menjaga batas kami," katanya.

Azlee pernah mencipta nama menerusi drama adaptasi novel Love You Mr Arrogant pada 2013 bersama pelakon, Zara Zya.

Ketika namanya berada di puncak popular, Azlee bertemu jodoh dengan wanita pilihan kelahiran Brunei, Dayang Norlelawati Puteh, 36.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2014 dan Azlee seterusnya memilih untuk meninggalkan kerjaya seni serta menetap di Brunei.

Namun, pada November lalu, Azlee muncul aktif berlakon semula dengan membintangi drama Seadanya Aku terbitan Country Universal Sdn Bhd.

Dalam drama untuk slot Akasia disiarkan Januari 2020 itu, Azlee digandingkan semula dengan heroin lamanya, Zara Zya.

Disiarkan pada: December 28, 2019 @ 4:18pm
d