rap

Kerana Dini, Janna lebih lembut dan manja

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON popular, Janna Nick menyifatkan kekasihnya yang juga pelakon baru, Dini Azan Schatzmann seorang yang penyabar.

Janna, 24. atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner berkata, Dini juga orang yang paling banyak bertolak ansur selain sentiasa positif dalam apa saja perkara.

“Banyak sangat perubahan berlaku kepada saya tahun ini. Daripada seorang wanita yang kasar dan ‘jantan’, sekarang lebih feminin dan manja, tapi dengan Dini sajalah. Kalau dengan orang lain, saya masih sama iaitu suka gelak kuat.

“Apa boleh dikatakan mengenai Dini, dia orang yang paling banyak bertolak ansur, sabar, paling lembut dan positif. Untuk lelaki di luar sana, jangan ingat perempuan kasar tidak pandai nak hormat pasangan. Kalau lembut layanan diberi, maka lembutlah dia,” katanya.

Sementara itu, perkongsian Janna di Instagram yang memaparkan saat romantis bersama Dini itu mendapat lebih 100,000 tontonan dan hampir 30,000 tanda suka.

Menerusi video berdurasi dua minit 22 saat itu, Janna memanggil Dini dengan panggilan ‘baby’, manakala Dini memanggil Janna dengan ‘sayang’.

Pada permulaan video itu, Janna meluahkan rasa cinta dan dibalas Dini.

Sebelum ini, Janna mengesahkan secara eksklusif dengan Harian Metro dia dan Dini sedang menjalin hubungan cinta.

“Sebelum ini saya pernah beritahu hubungan dengan Dini hanya sekadar kawan biasa, tapi sejak Jun lalu kami mula serius.

“Apapun doakan semoga hubungan yang baru terbina ini berjalan baik dan saya berharap pengumuman ini dapat memberi pencerahan kepada pihak yang sering berteka-teki mengenai hubungan saya dengan Dini sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 4:05pm
d