rap

Cik Yam macam faham situasi ibu bapanya - Fizo Omar

Oleh Najiy Jefri

"CIK Yam (anak) membesar dengan baik dan mendapat kasih sayang yang secukupnya daripada kedua-dua belah pihak. Dia anak yang sangat bijak dan seolah-olah memahami situasi ibu bapanya," luah pelakon Fizo Omar di Instagram sempena ulang tahun kedua kelahiran puteri tunggalnya, Wan Maryam pada 29 Disember lalu.

Fizo, 34, atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar berkata, setiap kali tiba giliran dia menjaga, anaknya itu sangat memahami dan tiada masalah untuk bermalam walaupun ketiadaan bekas isterinya, Mawar Abdul Karim, 30.

"Aku yakin dan percaya dengan perancangan Allah yang akan memberikan terbaik kepada hamba-Nya dan Dia juga akan menjaga dan mengatur segalanya yang terbaik untuk semua.

“Pada hari lahir zuriat aku ini, aku hanya mampu bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada bekas isteri kerana pengorbanannya mengandung dan melahirkan zuriat aku. Walau apapun yang terjadi jasanya itu tetap aku hargai sampai bila-bila.

"Tiada lain yang aku pinta, semoga Allah memelihara zuriat aku ini dan jadikanlah Cik Yam anak yang solehah dan taat kepada kedua ibu bapa, terutamanya ibu yang melahirkan kamu di dunia ini," tulisnya.

Menurut Fizo, dia bersyukur dan menzahirkan rasa teruja dengan kehadiran Maryam selepas empat tahun menanti bersama bekas isterinya, Mawar Karim.

"Selama empat tahun perkahwinan aku menanti dan terus berusaha untuk mendapatkan zuriat dan akhirnya Allah izinkan pada 29 Disember 2017 (Jumaat). Betapa gembiranya aku saat melihat dan menyambut sendiri zuriat yang aku nantikan selama ini. Subhanallah hanya Tuhan saja yang tahu perasaan aku ketika itu.

"Bermulalah kehidupan aku sebagai seorang bapa yang aku impikan selama ini. Melihat anak membesar depan mata sendiri adalah satu nikmat perjalanan hidup yang bernilai dan momen terindah dalam hidup. Namun perancangan Allah itu adalah sebaik baik perancangan.

"Pada 10 Julai 2019, sudah tertulis jodoh aku dan Mawar berakhir di situ ketika Cik Yam berusia 1 tahun 6 bulan dan kami memilih untuk berasingan dan dari status suami isteri bertukar menjadi sahabat dan co-parenting kepada zuriat kami Cik Yam.

“Tiada siapa pun inginkan perpisahan, tapi berlakunya dengan izin Allah dan semestinya Allah ada perancangan yang terbaik untuk kami semua," tulisnya.

Jodoh Fizo dan Mawar terputus di tengah jalan apabila pasangan itu bercerai talak satu pada 10 Julai lalu selepas enam tahun berkahwin.

Hasil perkongsian hidup Fizo dan Mawar, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 4:13pm
d