rap

Persembahan eksklusif

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

DUA penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Vanny Nur Rizqi dan Nina Jenny dibawa khas ke Malaysia untuk beraksi dalam persembahan eksklusif di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang, malam ini.

Artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman Muzik Dua Karya Malaysia ini akan terbabit dengan konsert mini bermula jam 9 malam dan seterusnya menyertai sambutan tahun baharu 2020.

Kedua-dua penyanyi ini tampil dengan kelainan apabila muncul dengan single yang mempunyai judul unik.

Vanny dengan single berjudul Raja Gombal bergenre dangdut moden, manakala Nina baru tampil dengan single sulung berjudul Jurus Mautmu.

Pengarah Urusan Muzik Dua Karya, Zamri Othman berkata, Vanni dan Nina mempunyai bakat hebat dan nama besar di negara mereka.

“Vanny memiliki pengalaman dalam bidang tari dan model, manakala Nina pernah berkecimpung sebagai wartawan penyiaran bersama beberapa stesen TV antaranya SCTV, Indosiar, RCTI, MNCTV dan GTV sejak 2010 hingga sekarang.

“Vanni yang berasal dari Bandung dan berusia 18 tahun mendedikasi diri sebagai penyanyi yang punya bakat menari Jaipong dan sebagai model. Dia memulakan bakat seninya sejak kecil dan sering menyanyi serta menyertai pertandingan tarian sejak kecil.

“Nina pula berusia 25 tahun dan berasal dari Bandung. Namanya tak asing lagi dalam kalangan selebriti Indonesia. Dia mula mengembangkan bakat nyanyian pada 2013 dan sempat mengikat kontrak dengan sebuah syarikat rakaman besar di Indonesia,” katanya.

Menurut Zamri, konsert mini ini diadakan pihaknya dengan kerjasama Kompleks Bukit Jambul dan Placid Your Money Transfer Company.

“Kami berharap peminat datang beramai-ramai menonton konsert ini, sekali gus meraikan kedatangan tahun baru 2020 di sini.

“Kami menjanjikan kepuasan buat semua peminat yang hadir kerana pelbagai keistimewaan akan ditampilkan dalam persembahan mereka serta keraian tahun baharu,” katanya.

Zamri berkata, pertandingan ini bermula sejak 14 Disember dan berakhir pada 19 Januari tahun depan.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 6:15am
d