rap

Eyra Hazali selesa maafkan warganet

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON, Eyra Hazali, 20, tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap warganet yang mengkritik dan mengecamnya.

Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasalina Hazali berkata, situasi warganet kini umpama toksid berbahaya.

"Walaupun ada selebriti yang mengambil tindakan undang-undang pada mereka, tetapi tidak semuanya insaf.

"Kalau yang mendapat kesedaran pun, mungkin individu itu sudah kena saman dan dia perlu berhati-hati," katanya.

Justeru katanya, dia dan suami yang juga pemain bola sepak skuad kebangsaan, Muhammad Haziq Nadzli, lebih selesa memaafkan saja.

Katanya, kritikan dan kecaman diterima daripada warganet masih dilihat tidak melampaui batas.

"Buat masa ini, hanya saya dan suami yang dikecam. Mereka (warganet) belum lagi menyentuh ibu bapa dan keluarga kami.

"Jadi, segala kritikan dan kecaman itu dianggap boleh dimaafkan," katanya akan muncul dengan filem M4M4 di pawagam pada 6 Februari depan.

Eyra yang sebelum ini dikenali menerusi drama Mr Grey berkata, sebagai pelakon dia sudah lali dengan kecaman.

"Cuma, sebagai manusia biasa kadang-kala saya hilang sabar dan terus bertindak membidas kritikan serta kecaman ditulis.

"Apatah lagi, jika kritikan dan kecaman itu ditujukan kepada insan tersayang seperti suami saya," katanya.

Pada pertengahan Disember lalu, Eyra mencetuskan sensasi apabila tampil membidas kritikan warganet berhubung isu prestasi hambar pasukan bola sepak negara pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Eyra berkata, biarpun suaminya selalu berpesan tidak perlu melayan kritikan warganet, namun ketika itu dia rasa terpanggil untuk bersuara.

Untuk rekod, Eyra dan Haziq, 21, yang juga penjaga gawang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT II) bernikah pada 1 November lalu.

Selepas berumah tangga, Eyra kini mengikut suami menetap di Johor Bahru dan akan berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 8:04pm
d