rap

Anak Malaysia bangga terbabit sekuel filem Star Wars

Oleh Georgie Joseph

PENYELARAS Produksi VFX (kesan visual) filem Star Wars: The Rise of Skywalker, Sze Jia Eng bangga dan puas terbabit menghasilkan sekuel kegilaan ramai itu buat kali kedua apabila melihat sambutannya luar biasa.

Jia Eng yang berasal dari Johor dan berpangkalan di Singapura mengakui perincian untuk filem itu sangat mencabar namun teruja menjadi sebahagian besar daripadanya.

“Untuk filem ini sendiri, cabaran terbesar semestinya menjadikan segala animasi dan kesan visual tampak nyata. Dengan kemajuan teknologi yang semakin hebat, perincian ini kami berjaya laksanakan dengan sangat memuaskan.

“Semestinya, banyak cabaran apabila menjadi penyelaras produksi VFX di mana kadang-kadang apa yang sudah disiapkan tidak menjadi seperti dirancang. Justeru, kami akan bermula semula dari awal untuk merombak dan memperbaiki hasil kerja.

“Apapun, saya amat bangga menjadi sebahagian daripada penghasilan filem terbaru Star Wars ini. Bukan saya seorang, ada rakyat Malaysia lain terbabit di mana kami bergabung dengan semua pakar kesan visual dari Jepun, Britain, Amerika Syarikat, dan lain-lain,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi lanjut, Jia Eng juga bekerja rapat dengan nama besar yang berlakon dalam setiap filem membabitkannya.

“Awal dulu, dalam fikiran saya, profesion ini terdedah kepada dunia glamor. Memang benar tapi tugas kami yang berada di belakang tabir jauh lebih mencabar dan perlu bekerja dekat dengan setiap aktor.

“Bagaimanapun, komunikasi kami terhad setakat di talian dan bukannya berjumpa depan mata. Mereka mungkin tidak kenal wajah saya namun sayalah yang akan memberi penerangan buat mereka mendalami lagi watak serta segala aspek yang perlu dititikberatkan,” katanya.

Jia Eng juga mendedahkan pengalamannya selama lebih empat tahun mengajar dia untuk sentiasa peka dengan muslihat baru dunia kesan visual.

“Dengan kemajuan teknologi yang pantas, kami perlu sentiasa menguasai segala muslihat baru untuk memastikan hasil kerja lebih ke depan. Kami perlu kekal terperinci dengan setiap aspek supaya dapat seiring bersama evolusi teknologi perfileman,” katanya.

Dalam pada itu, Jia Eng juga menyimpan hasrat untuk membanggakan Malaysia dan dapat menjejakkan kaki ke anugerah berprestij Oscars suatu hari nanti.

“Impian besar saya dalam kerjaya ini adalah untuk melihat nama tersenarai dalam calon Oscars pada masa hadapan. Setakat ini, saya belum mendapat peluang keemasan itu namun akan terus bekerja keras sampai ke tahap itu,” katanya.

Jia Eng memulakan kerjayanya bersama Industrial Light and Magic yang menghasilkan filem hebat Hollywood pada 2015. Sebagai pengarah produksi, dia menjaga rapi kelancaran jadual harian pelakon dan memastikan kejayaan filem diraih seperti dirancang.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Monash University Malaysia itu sudah menyelaras 20 projek filem sehingga sekarang.

Selain Star Wars, dia turut menyelaras filem Life of Pi pada 2011, Teenage Mutant Ninja Turtles: Out of the Shadows (2016), Rogue One: A Star Wars Story (2016), Avengers: Infinity War (2018), Aquaman (2018), Ready Player One (2018) dan Aladdin (2019).

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 4:03pm
d