rap

Pentas bakat terbaik

Oleh Georgie Joseph

DUA kejohanan berprestij dunia iaitu World Championship of Performing Arts (WCOPA) dan i-SiNG berjaya melonjakkan bakat tempatan di pentas dunia.

Sehingga kini, peserta Malaysia berjaya menggondol tujuh anugerah Grand Champion of the World, 128 anugerah Champion of the World (juara divisyen), 176 pingat emas, 159 perak dan 67 gangsa di WCOPA sejak 2005.

Manakala, tahun lalu dua peserta negara iaitu Mohamad Husaini Mahmur dan Nadia Naswan Hasnan Mohamad memenangi tempat kedua dan ketiga pertandingan i-Sing World. Sementara, pada 2018 Shafiq Ikhwan dinobatkan juara i-SiNG selepas mengalahkan peserta daripada lebih 35 negara.

Dengan kejayaan itu, terbukti bakat tempatan bukan calang-calang dan ia menjadi penyemarak semangat untuk mereka terus mempromosikan Malaysia.

Wakil penganjur, Romli Bidin berkata, pasukan terbaik negara juga bakal dihantar ke WCOPA 2020 yang berlangsung di California, Amerika Syarikat (AS) pada 24 Julai hingga 2 Ogos depan.

Menurutnya, kejohanan itu sangat penting bukan saja buat peserta malah semua pihak yang terbabit.

“Saban tahun kejohanan ini menjadi lebih sengit dan mencabar. Justeru, pemilihan pasukan Malaysia harus dibuat lebih teliti dan mendalam. Oleh itu, kami amat berbesar hati dengan sokongan Tuah Cahaya (M) Sdn Bhd dan Pertubuhan Adat & Seni Budaya Warisan Negara.

“Kejohanan ini umpama acara Olimpik dalam dunia seni persembahan. Lebih 80,000 peserta dari seluruh dunia akan bertanding bagi merebut tempat ke pentas akhir di Hollywood,” katanya.

Apapun, misi mereka bukan sekadar mahu meraih pingat semata-mata di kejohanan berkenaan. Romli berkata, platform itu turut memberikan peluang keemasan kepada peserta untuk dikenali di seluruh dunia selain meraih pengalaman berharga.

“Kejohanan yang berlangsung selama 10 hari ini membuka ruang kepada peserta untuk belajar dengan pakar industri hiburan Hollywood, Nashville dan New York.

“Peserta akan menjalani bengkel sehari yang dikelolakan pakar terbabit. WCOPA adalah tempat atau perkampungan terbaik untuk artis meluaskan jaringan dan belajar pelbagai perkara daripada penerbit, pengarah, pengurus, ejen seluruh pelosok dunia,” katanya.

Pemilihan pasukan Malaysia bagi tahun 2020 akan dianjurkan Championship of Performing Arts (MCOPA) pada bulan ini. Butiran uji bakat boleh didapati menerusi laman web rasmi https://www.wcopa.com/malaysia.

Sementara itu, untuk i-Sing World pula, pihak Creative Line Promotion berjaya membida untuk mengadakan kejohanan itu di Kuala Lumpur. Pertandingan akhirnya dijadualkan berlangsung selama lima hari pada 10 hingga 15 September depan.

Dianggarkan sebanyak 50 negara akan menyertai kejohanan berkenaan tahun ini. Pihak penganjur juga merancang beberapa program menarik bagi kejohanan i-SiNG World termasuk peluang percutian dan melancong sempena mereka berada di Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 6:00am
d