rap

Tahniah Mira

Oleh Cik Pang

WALAUPUN sudah lima hari kita menjalani kehidupan di tahun 2020, belum terlambat untuk Cik Pang ucapkan ‘selamat menyambut tahun baharu’ buat semua pembaca Metro Ahad khususnya pengikut setia ruangan ini.

Cik Pang percaya, semua orang pasti meletakkan sasaran yang ingin dicapai pada tahun ini. Cik Pang doakan agar impian dan azam berkenaan tercapai.

Sebagai pembuka 2020, cerita Cik Pang ini tidaklah panas mana pun. Cuit-cuit manja saja. Alaa... kisah si manis Mira Filzah yang menjadi pujaan satu negara. Sejak memberikan kenyataan dia sedang mengenali seseorang, pasti peminat tertanya-tanya siapa gerangan jejaka bertuah itu.

Cik Pang sendiri tertanya-tanya siapa lelaki hebat yang berjaya mencuri hati Mira. Kalau bukan orang industri, memang susah sikitlah untuk dicari. Tambahan pula Mira suka merahsiakan perkara yang belum pasti.

Bagaimanapun, hasil risikan Cik Pang, khabarnya jejaka berkenaan anak kepada Ahli Parlimen dan adik kepada seorang pengacara. Kalau benar, skop makin kecil untuk kita main teka-teki.

Apa yang Cik Pang dengar lagi, jejaka berkenaan individu sama yang pernah rapat dengan Mira ketika mereka sama-sama belajar dulu. Cuma, hubungan terputus di tengah jalan apabila lelaki berkenaan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Kalau jejaka yang dikatakan Mira dalam kenyataan terbarunya itu sama dengan individu dari masa silamnya, mungkin jejaka itu sudah kembali ke tanah air dan cinta lama berputik semula.

Apa pun, Cik Pang doakan yang baik-baik untuk Mira walau siapa pun jodohnya. Cik Pang pun menghormati privasi Mira dan faham sebagai wanita, terlalu banyak kekangan dan batas yang perlu dijaga.

Cik Pang saja timbulkan perkara ini sebab Cik Pang sebenarnya peminat Mira. Tak sabar nak tengok Mira naik pelamin. Gambar terbarunya menyarungkan pakaian pengantin untuk promosi pun sudah naik seri, inikan pula kalau menyarungkan baju pengantin sendiri.

Cik Pang juga ingin mengucapkan tahniah kepada Mira kerana kekal sebagai pengacara Nona buat tahun ketiga. Itu tandanya peminat suka melihat Mira mengacarakan program berkenaan. Semoga Mira terus dilimpahkan rezeki.

Disiarkan pada: January 5, 2020 @ 6:30am
d