rap

Paduan Ain, Akwa serasi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Lagu: Overthink

Penyanyi: Ain Edruce ft Akwa Arifin

Komposer: Akwa Arifin

Lirik: Akwa Arifin

SELAIN berlakon, mengacara dan bergelar YouTuber, Ain Edruce juga berbakat dalam bidang muzik terutama nyanyian.

Terbaru, pelakon siri Jenaka Kampung Kalut di TV3 itu hadir dengan single berjudul Overthink, menampilkan komposer dan penyanyi rap, Akwa Arifin.

Sejujurnya, dalam lagu ciptaan Akwa ini, mungkin kita takkan dapat mendengar kemampuan vokal Ain sepenuhnya memandangkan ia adalah karya berentak hip hop.

Namun, identiti suara Ain yang serak basah masih lagi kedengaran dan nampaknya, paduan suara Ain dan Akwa begitu serasi.

Melodi lagunya tidak terlalu berat dan masih dapat diterima bukan saja oleh generasi muda, tetapi juga peminat muzik dari genre lain.

Secara ringkasnya, Overthink mengisahkan mengenai karakter manusia yang terlalu banyak berfikir dan timbul rasa kerisauan apabila tidak mendapat khabar berita daripada kekasihnya.

Ia menunjukkan bagaimana pemikiran yang terlalu kritikal mampu memberikan kesan dalam kehidupan seseorang.

Dari sudut video muzik, Overthink menampilkan kemampuan lakonan Ain sebagai modal untuk menunjukkan emosi karakter yang wujud rasa tekanan dalam dirinya.

Permainan warna cahaya dan visual juga menjadikan video muzik itu tidak terlalu sarat dengan pelbagai benda, tapi pada masa sama, mesej yang ingin disampaikan, sampai kepada penonton.

Di YouTube, video muzik Overthink yang dimuat naik sejak 31 Disember lalu sudah ditonton lebih 181,000 tontonan.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 6:10am
d