rap

Farhan cuba sehabis baik

Oleh Najiy Jefri

PENDATANG baru, Farhan Asri tidak kisah bermula dari bawah untuk mencipta nama dalam industri hiburan tanah air.

Mahu menjadikan karier lakonan sebagai satu kecintaan, Farhan yang juga pemenang tempat kedua program Hero Remaja 2017 berkata, dia sentiasa optimis dan akur dirinya lambat naik berbanding rakan yang lain.

“Biarpun menyerlah dalam Hero Remaja 2017 sehingga berjaya meraih tempat kedua, ia tidak menjadi ‘tiket’ mudah untuk saya dikenali dalam bidang lakonan.

“Kini, saya bermula dari bawah untuk mencipta nama. Saya harus berusaha keras untuk menguatkan nama dalam bidang seni. Soal lambat atau cepat naik itu semuanya rezeki. Saya reda apabila rezeki tidak meluncur dengan laju. Saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.

“Apa yang penting tidak mengalah dan sentiasa berusaha sehabis baik bagi mencipta nama dalam bidang ini,” katanya.

Farhan yang pernah membintangi drama bersiri Cik Reen Encik Ngok Ngek di Astro Ria berkata, dia melihat dirinya seperti pelakon Syafiq Kyle yang tidak bermula dengan mudah dalam bidang ini.

“Lihat sahaja Syafiq Kyle. Namanya tidak terus menyerlah selepas tamatnya Hero Remaja tetapi dia membina nama perlahan-lahan sehingga berjaya mengukir populariti yang dikecapinya sekarang.

“Saya nak jadi sepertinya. Banyak pengalaman yang ditimba sebelum dia berjaya seperti hari ini,” katanya.

Walaupun aktif dalam bidang seni, dia tidak sesekali melupakan pelajaran.

“Selain berlakon, saya juga pelajar sarjana muda di UiTM (Universiti Teknologi Mara) dalam jurusan Komunikasi Interpersonal. Selepas tamat diploma, saya menyambung pengajian tetapi secara separuh masa sahaja. Pelajaran amat penting jadi tak ada sebab untuk saya mengabaikannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farhan baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Izrail Memanggil arahan Zamri Zakaria.

“Ini pengalaman baru untuk saya dalam menjayakan watak jahat kerana sebelum ini saya sering diberikan peranan berbeza.

“Memegang watak Badri, saya berterima kasih kepada pengarah yang banyak membantu saya dalam menjayakan telefilem itu,” katanya.

Izrail Memanggil yang diterbitkan Mind Eyes Prod Sdn Bhd turut dibintangi Hafreez Adam, Tiz Zaqyah, Iswan Ismail, Fauziah Nawi dan ramai lagi.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 6:00am
d