rap

Nur pelengkap hidup Noorkhiriah

Oleh Norhayati Nordin

Hampir seminggu lembaran 2020 membuka tirai, ada yang melaluinya dengan ceria dan tidak kurang juga berdepan ujian.

Bagi pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie, 44, tidak ada harapan besar yang diimpikan untuk kerjaya seninya.

Enggan mengulas berkaitan projek filem Nur yang terkubur, Noorkhiriah sekadar menganggap tidak ada rezeki.

“Tahun 2020 ini saya masih menerima beberapa tawaran berlakon drama. Cuma, masih dalam pertimbangan. Tiada persetujuan dibuat setakat ini kerana saya pun lebih memberi tumpuan kepada mengurus keluarga,” katanya.

Pelakon watak Aisyah dalam drama Nur dan Nur 2 di TV3 ini mendirikan rumah tangga dengan Azfaizul Ahtan sejak 14 tahun lalu.

Mereka dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Hudhaifah, 11, dan Muhammad Yusoff, 9.

Pada November 2018 impian mereka memiliki anak perempuan menjadi kenyataan.

Kehadiran bayi comel diberi nama Nur ternyata melengkapkan kebahagiaan keluarga kecil Noorkhiriah dan suami tercinta.

“Alhamdulillah, sekarang Nur sudah berusia setahun dua bulan. Dia semakin cergas, lincah dan banyak akal.

“Kami sekeluarga sangat terhibur melayan keletah Nur yang bijak mengambil hati dan si kecil yang manja,” katanya.

Noorkhiriah berkata, masanya di rumah kini memang terisi dengan hiburan oleh anak-anak.

Berbicara mengenai pembabitannya dalam komedi, Noorkhiriah berkata, semuanya bergantung kepada rezeki.

“Penyertaan saya dalam program All Stars Buka Panggung (ASBP) musim pertama itu sekadar mencuba. Namun, tak sangka pula komedi dipersembahkan diterima positif dan mendapat sambutan baik penonton. Saya sangat bersyukur,” katanya yang muncul naib juara dalam program itu.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 6:05am
d