rap

Elly tak sangka ramai suka Kampung People

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON drama bersiri Kampung People, Elly Mazlein gembira dan teruja apabila drama bersiri yang kini ditayangkan di slot Lestary TV3 itu mendapat sambutan di luar jangkaan.

Elly yang juga penyanyi dan pengacara berkata, drama bersiri komedi itu mendapat pelbagai reaksi menggalakkan daripada penonton.

"Alhamdulillah, saya memang seronok sangat. Tak sangka drama ini seperti fenomena yang melanda Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, rata-rata penonton yang memberikan respon kepadanya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Penonton pula bukan orang dewasa sahaja, tetapi ada juga dalam kalangan kanak-kanak. Dalam kata lain, ia kena dengan jiwa seisi keluarga.

"Paling membuatkan saya gembira ialah apabila ada peminat yang memaklumkan bahawa mereka akan berkumpul bersama keluarga untuk menonton Kampung People ini," katanya.

Katanya, drama itu bukan sekadar hiburan keluarga semata-mata, tetapi juga sarat dengan mesej positif.

"Walaupun kita lihat drama itu bersifat komedi dan menjadi hiburan keluarga, tetapi ia juga sarat dengan mesej positif mengenai kekeluargaan.

"Ramai juga yang meluahkan rasa sedih kerana esok, 8 Januari adalah episod terakhir Kampung People," katanya.

Selain Elly, Kampung People yang diarahkan Wan Hasliza turut menampilkan lakonan Rashidi Ishak, Riena Diana DFKL, Hun Haqeem, Kamarul Eqifshah, Datuk Fizz Fairuz, Nam Ron dan ramai lagi.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 5:26pm
d