rap

Wajibkan suntikan vaksin! - Fedtri Yahya

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENGACARA dan personaliti TV, Ahmad Fedtri Yahya mengajak masyarakat supaya membuka mata mengenai pentingnya suntikan vaksin kepada bayi dan kanak-kanak.

Fedtri yang juga pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 berkata, suntikan vaksin itu sepatutnya diwajibkan buat semua bayi dan kanak-kanak supaya tidak berlaku sebarang kesan buruk kepada mereka di masa depan.

"Penting untuk kita semua sedar akan kepentingan suntikan vaksin kepada bayi dan kanak-kanak. Saya banyak bertukar pendapat dengan golongan profesional dalam bidang perubatan dan saya tahu kepentingan suntikan vaksin ini.

"Pihak hospital dan sekolah contohnya perlu menguatkuasakan peraturan untuk mewajibkan semua bayi dan kanak-kanak untuk diberikan suntikan vaksin," katanya.

Menurutnya, tindakan segelintir ibu bapa yang menolak vaksin atau anti-vaksin ini akan memberi kesan buruk kepada anak-anak mereka yang tidak berdosa.

"Kalau mereka (ibu bapa) menolak vaksin, jangan babitkan anak-anak yang tidak berdosa kerana mereka yang akan terkena kesannya suatu hari nanti.

"Apabila melangkah ke alam persekolahan, mereka akan bergaul dengan kanak-kanak lain dan tak mustahil akan memberikan kesan buruk kepada orang lain pula dari segi kesihatan," katanya.

Pendapat itu diluahkan Fedtri kerana kerana menurutnya, golongan anti-vaksin ini sentiasa akan memberikan hujah-hujah untuk meyakinkan orang lain mengenai pendapat mereka.

"Tak guna kalau kita bertekak atau berhujah dengan mereka kerana golongan ini begitu ekstrim dalam menegaskan pendapat mereka. Mereka ada komuniti sendiri yang akan menghentam sekiranya kita berbicara mengenai suntikan vaksin.

"Mereka juga akan menggunakan agama dalam memastikan pendapat mereka lebih meyakinkan dan nampak kukuh. Padahal, dalam agama Islam pun, kita tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan," katanya.

Di Instagram, Fedtri turut meluahkan pendapatnya berkaitan isu ini dan rata-rata ramai pengikut di akaun media sosial itu memberikan reaksi positif termasuk beberapa selebriti popular tanah air.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 7:43pm
d