rap

Impian A Aida buka kolej tercapai

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENERBIT terkenal, Datuk A Aida sanggup melabur jutaan ringgit bagi menubuhkan kolej sendiri yang bakal memulakan proses pengambilan pelajar pada 20 Januari ini.

Aida berkata, Cyberjaya Skills International College yang beroperasi di Cyberjaya itu adalah impiannya sejak lima tahun lalu.

"Lima tahun lalu saya memasang impian untuk membuka kolej sendiri, tapi ketika itu saya tiada kepakaran selain tidak ada pasukan yang mahir dalam bidang ini. Jadi, perkara itu tidak dapat dijalankan.

"Namun, tahun lalu saya berjumpa dengan tiga individu yang ada pengalaman dalam bidang ini. Jadi, mereka membantu untuk merealisasikan impian saya. Menguatkan lagi keyakinan saya ialah selepas melihat beberapa rakan berjaya dalam perniagaan ini.

"Jadi, kenapa tidak saya cuba untuk meneruskan hasrat yang tertangguh dulu. Insya-Allah, kolej ini akan memulakan pengambilan pertama pada 20 Januari ini," katanya kepada Harian Metro.

Aida berkata, kolej itu menawarkan 50 peratus kursus kemahiran dan menjadi kolej pertama di dunia yang melaksanakan kursus Diploma Mutawwif & Tour Leader Muslim.

Dalam masa sama, ia juga menjadi kolej pertama dalam negara yang menjalankan kursus barista.

"Bagi yang kurang kelayakan akademik, boleh masuk kolej ini sebab 50 peratus kursus adalah dalam bidang kemahiran. Antaranya bidang kulinari, perkhidmatan makanan dan minuman, barista, automotif dan banyak lagi.

"Bagi kursus barista, kami bekerjasama dengan pakar barista dari Itali dan saya akan ke sana pada Mac ini untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MOU).

"Paling penting, semua kursus yang ditawarkan mendapat pengiktirafan Malaysian Qualifications Agency (MQA), Jabatan Kemahiran Malaysia dan beberapa lagi. Kami juga menawarkan pinjaman pendidikan dan penyediaan tempat tinggal kepada pelajar," katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 4:34pm
d