rap

Zynakal tak mahu nakal lagi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI Zynakal, 21, mengakui baru mengenali siapa kawan dan siapa lawan selepas peristiwa hitam yang menimpanya 28 Ogos tahun lalu apabila ditahan polis selepas mengasari seorang pekerja stesen minyak.

Video kejadian itu tular menyebabkan penyanyi bernama sebenar Muhammad Raziq Rosli ini bukan saja dikecam, tetapi turut ditahan polis.

“Baru sekarang saya nampak perangai masing-masing. Tak mengapalah, pilihan untuk berkawan itu terletak pada diri masing-masing. Setiap orang ada hak. Mungkin mereka rasa saya bukan kawan mereka. Yang masih kekal bersama saya itu, saya ucapkan alhamdulillah," katanya yang ditemui pada sidang media pelancaran single Zynakal feat Yonnyboii berjudul Sakit, hari ini.

Selain tuduhan terbabit, Zynakal juga didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Mahkamah Majistret Ampang kemudian mengenakan hukuman denda RM800 bagi kesalahan mendatangkan kecederaan dan tambahan denda RM2,000 atas kesalahan kedua terhadapnya.

Mengulas kejadian yang berlaku, Zynakal berkata, ia berpunca daripada penyakit bipolar mania yang dihidapinya.

“Semua orang tahu saya serang pekerja stesen minyak dan ada masalah dengan stesen radio. Sebenarnya, apa yang terjadi memang bukan saya. Selepas kejadian itu, saya dirujuk ke Wad Psikiatri, Hospital Besar Kuala Lumpur dan disahkan ada penyakit bipolar mania. Antara simptom penyakit ini ialah bersikap agresif, banyak idea dan tidak tidur malam.

“Dua minggu saya dirawat di hospital dan sekarang saya kena buat rawatan secara berkala," katanya.

Menurut Zynakal, sifatnya yang terlalu kuat bekerja menjadi penyumbang kepada penyakit ini.

“Saya terlalu seronok buat kerja sehinggakan tak tidur selama empat hari. Dalam kejadian itu, pekerja terbabit cuma beritahu saya tak boleh guna kad kredit untuk bayar air. Caranya bukan kasar sangat. Tapi disebabkan saya sakit, saya naik angin. Kemudian saya halang kerja polis pula.

“Selepas dijatuhkan hukuman, saya masih belum tahu saya ada penyakit ini sehinggalah saya merujuk ke hospital. Itupun atas paksaan kawan-kawan," katanya.

Zynakal turut menafikan kejadian itu berlaku kerana dia berada di bawah pengaruh dadah.

“Saya tahu isu ini pasti akan dikaitkan. Mungkin orang-orang luar yang bertindak seperti saya ada pengaruh dadah. Tapi untuk saya sendiri memang tidak sama sekali. Ia kerana saya terlalu kuat bekerja dan tak jaga makan. Ketika ditahan saya perlu lalui ujian air kencing dan negatif dadah," katanya.

Dalam pada itu, sebahagian lagu Sakit dicipta oleh Yonnyboii bagi memberi semangat buat Zynakal.

“Kami mula berkawan sejak setahun lalu. Apabila mendengarnya, saya tertarik dengan lagu ini.

“Yonnyboi letak judul awal lagu ini Zyn Jangan Sedih, kemudian ditukar kepada Sakit. Ia berjaya disiapkan hanya satu malam termasuk rakaman. Saya luahkan perasaan dalam lagu itu dan nak orang tahu yang saya sedang sakit. Setiap bait yang ditulis adalah jujur dan ikhlas," katanya.

Lagu edaran sepenuhnya Indigital Music ini mencatat empat juta tontonan di YouTube dalam tempoh dua minggu dikeluarkan.

Berita berkaitan

Artis 'baru nak up' didenda RM2,800

Sufian bantu Zynakal dapat rawatan

'Jangan kecam kawan baik saya' - Haqiem Rusli

Artis 'baru nak up' ditahan polis

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 4:49pm
d