rap

Yana buat duit main 'Game'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Yana Samsudin kini aktif sebagai penstrim permainan video di laman Facebook sejak Ogos lalu dengan menghabiskan masa antara tiga hingga enam jam sehari.

Yana berkata, suaminya, Fadzil Zahari juga tidak menghalang minatnya yang sudah ada sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya sudah mula aktiviti ini sejak Ogos tahun lalu. Kebiasaannya, saya menghabiskan masa kira-kira tiga hingg enam jam sehari. Tapi, ia bergantung kepada individu.

"Alhamdulillah, suami juga faham dengan minat saya. Dia tidak pernah menghalang saya untuk melakukan penstriman permainan video. Cuma, dia pelik bagaimana saya boleh bertahan selama berjam lamanya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Yana, aktiviti itu turut menjana pendapatan buatnya dan bukan bermain permainan video semata-mata.

"Secara tidak langsung, ada pendapatan yang dibayar oleh pihak Facebook Games kepada penstrim. Saya tidak boleh dedahkan berapa bayaran yang diterima, tapi pendapatan bergantung kepada individu," katanya.

Disebabkan aktiviti itu, Yana sanggup menghabiskan hampir RM7,000 untuk komputer dan beberapa keperluan lain.

"Saya mengeluarkan wang hampir RM7,000 untuk perkakas komputer dan meja. Tapi, saya dapat rezeki lebih apabila ada pihak yang sudi menaja meja, kerusi dan beberapa peralatan yang harganya saya anggarkan mencecah RM20,000," katanya.

Perkembangan lain, Yana baru saja selesai menjalani penggambaran filem pertama terbitan syarikatnya, Kak Yong yang dijangka bakal ditayangkan dalam tahun ini.

Disiarkan pada: January 12, 2020 @ 3:42pm
d