rap

Ayie Floor 88 rebah sebab tak cukup rehat

Oleh Norhayati Nordin

TERLALU penat dan tidak cukup rehat menjadi punca penyanyi Floor 88, Ayie tiba-tiba rebah dan pitam di atas pentas ketika mereka mengadakan persembahan di Kuala Pilah, malam tadi.

Pemain keyboard Floor 88, Eric Fuzi ketika dihubungi berkata, keadaan Ayie kini stabil tetapi dia tidak boleh diganggu kerana perlu berehat secukupnya.

“Doktor memaklumkan Ayie pitam kerana keletihan. Dia tidak perlu ditahan di wad dan perlu berehat secukupnya,” katanya.

Eric berkata, ketika mereka mengadakan ujian bunyi pada sebelah siang semalam, Ayie sudah nampak kurang sihat tambahan pula cuaca ketika itu sangat panas.

"Bagaimanapun, Ayie cekalkan diri dan bersemangat untuk menghiburkan penonton pada malam itu. Namun, situasi berlaku sebaliknya dan memang tidak dijangka. Saya bersama anggota Floor 88 yang lain panik sebaik melihat Ayie rebah depan mata kami. Dia betul-betul terlalu penat hingga dia pitam dan terus rebah ketika persembahan Floor 88 masih berlangsung," katanya.

Menurut Eric, beberapa bulan kebelakangan ini, jadual Floor 88 sangat padat dengan persembahan dan mereka tidak ada masa untuk berehat termasuk hujung minggu.

“Ayie pun sebenarnya pernah dinasihatkan doktor untuk berehat seketika daripada menyanyi kerana vokalnya ada masalah," katanya.

Eric berkata, dia mewakili Floor 88 memohon maaf di atas perkara yang berlaku dan berterima kasih kepada peminat yang mendoakan kesihatan Ayie.

Dalam pada itu, Eric turut menafikan kejadian itu adalah 'gimik murahan' daripada Floor 88 seperti didakwa segelintir netizen di Instagram mereka.

“Itu bukan gimik. Kami tidak akan membuat gimik membabitkan kesihatan dan nyawa anggota kumpulan.

“Rezeki Floor 88 sangat dimurahkan Allah SWT apabila sejak September tahun lalu sehingga kini, kami tidak putus menerima tawaran persembahan nyanyian,” katanya.

Selain Ayie dan Eric, Floor 88 yang turut dianggotai Achoi, Faliq, Akram dan Amir popular dengan lagu Zalikha, Aqilah, Roadblock Hatiku dan Hutang.

Kejadian berlaku ketika mereka mengadakan persembahan di Konsert Gempak Negeri.fm sempena meraikan Hari Keputeraan Ke-72 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di padang awam Seri Menanti, Kuala Pilah.

Turut mengadakan persembahan ialah Sissy Imann, Ara Johari, Waty, Nen Tebabo dan Syafiq Azrul Zafri.

Terdahulu, Floor 88 turut memuat naik video berdurasi 1 minit di Instagram yang memaparkan Ayie tiba-tiba rebah ketika mengadakan persembahan.

Berita berkaitan:

  • Ayie Floor 88 rebah tiba-tiba [METROTV]
  • Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 12:27pm
    d