rap

Adaptasi novel cinta

Oleh Najiy Jefri

DIADAPTASI daripada novel popular, filem The Garden of Evening Mists menemui penonton bermula hari ini ini sekali gus menjadi pembuka tirai 2020 bagi karya terbitan Astro Shaw dan HBO Asia.

Filem cinta arahan pengarah Taiwan Tom Shu-Yu Lin ini turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama CJ Entertainment.

Apa yang menarik, filem tempatan yang sudah membuat tayangan perdananya di Festival Filem Antarabangsa Busan ke-24 pada Oktober lalu itu menampilkan barisan pelakon bertaraf antarabangsa.

Antara nama besar yang menjayakan filem terbabit ialah Sinje Lee (The Eye), Hiroshi Abe (After The Storm), Sylvia Chang (Love Education), David Oakes (Cold Skin), Julian Sands (The Girl With The Dragon Tattoo) dan John Hannah (The Mummy).

Lebih menarik, karya yang menerima sembilan pencalonan di Anugerah Golden Horse Ke-56 pada November lalu itu menggabungkan tenaga produksi antarabangsa merangkumi Malaysia, Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia dan United Kingdom.

Tom ketika ditemui berkata, filem ini adalah karya yang cukup bermakna dalam perjalanan kariernya sebagai pengarah apabila ia adalah pengalaman pertamanya menjayakan penggambaran di negara ini.

“Saya tidak pernah membuat penggambaran di Malaysia. Ini adalah pengalaman pertama saya apabila diberi tugas untuk mengarahkan filem ini.

“Saya tidak tahu banyak mengenai Malaysia. Saya juga tidak tahu kisah sejarah negara ini pada mulanya,” katanya.

Menurut Tom, dia yang teruja dengan kehidupan dan budaya di Malaysia melihat peluang yang diberikan sebagai satu permulaan yang cukup baik buatnya dalam mengetengahkan bakat di negara ini.

“Saya tidak pernah mengarahkan filem berkaitan sejarah. Jadi, apabila diberi kepercayaan begini, ia menjadi satu keseronokan buat saya.

“Walaupun ia sebenarnya sesuatu yang menakutkan untuk menjayakan projek sebesar begini, tetapi saya teruja untuk mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Bagi pelakon utamanya, Sinje Lee, 44, yang juga pelakon kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Taiwan dan Hong Kong berkata, filem ini adalah naskhah berbahasa Inggeris pertama pernah dijayakannya sejak berkecimpung dalam dunia seni.

Sinje berkata, dia tidak menafikan antara cabaran terbesar yang perlu ditempuh adalah penggunaan bahasa Inggeris dalam filem itu.

“Sebenarnya filem ini adalah cerita pertama saya yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium percakapan.

“Memandangkan saya tidak begitu mahir bercakap dalam bahasa itu, saya membuat keputusan dengan mengambil dua orang guru Bahasa Inggeris bagi membantu saya,” katanya.

Menurut Sinje, dia mula mengambil kelas bahasa itu beberapa bulan sebelum ke set penggambaran.

“Dalam tiga ke empat bulan sebelum penggambaran, saya upah seorang guru dari Britain untuk memberikan tunjuk ajar. Namun, bunyinya kedengaran terlalu British.

“Jadi saya terpaksa mengambil seorang guru tempatan kerana mahu sebutan loghat British saya kedengaran seperti dipertuturkan orang sini,” katanya yang membawa watak sebagai Yun Ling.

Filem berkenaan menampilkan Sinje bergandingan dengan heronya, Hiroshi Abe yang juga pelakon kelahiran Jepun.

Ia menceritakan kesengsaraan kehidupan Teoh Yun Ling (lakonan Sinje Lee) akibat kekejaman Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang cuba mencari ketenangan di Cameron Highlands.

Bagaimanapun, sewaktu di sana, ketika dia berusaha untuk membina sebuah taman bagi menzahirkan penghormatan kepada adik perempuannya yang terkorban, dia menjalin hubungan cinta terlarang bersama seorang tukang kebun bernama Nakamura Aritomo (lakonan Hiroshi Abe).

The Garden of Evening Mists mula ditayangkan di Festival Filem Asia Hong Kong pada 14 November lalu.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 7:00am
d