rap

Tak pernah halang Sharnaaz jumpa anak

Oleh Najiy Jefri

NOOR Nabila menafikan dakwaan segelintir pihak mengatakan dia menghalang atau menyekat suaminya yang juga pelakon popular Sharnaaz Ahmad untuk bertemu anak mereka, Jebat Jayden.

Nabila yang juga kakak kepada pengacara popular Neelofa berkata, dia tidak pernah terlintas untuk melarang suaminya bertemu Jebat sebaliknya berharap dapat menjaga anak mereka dengan baik walaupun tidak lagi bergelar suami isteri selepas ini.

“Saya tak pernah halang atau sekat dia untuk jumpa anak. Walaupun ramai yang memfitnah cakap saya tak bagi jumpa anak, saya tidak pernah ada niat untuk pisahkan mereka. Insya-Allah saya akan terus besarkan anak bersama,” katanya.

Menurut Nabila, sebagai ibu dia perlu memberi lebih perhatian terhadap Jebat bagi memastikan anaknya itu mendapatkan kasih sayang terbaik.

“Sebagai ibu sudah tentu kita akan memberi lebih perhatian kepada anak dari segi keperluan dan penjagaan yang baik. Itu memang menjadi keutamaan saya, tetapi ia tidak bermakna saya perlu ketepikan Sharnaaz dalam hal itu,” katanya.

Noor Nabila sebelum ini memfailkan interim hadanah (hak jagaan anak sementara) terhadap anak tunggal mereka, Jebat Jayden di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Permohonan interim hadanah itu difailkan pada 13 September tahun lalu adalah untuk menentukan hak lawatan Sharnaaz terhadap anak mereka.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 4:27pm
d