rap

Ungku Ismail idam jadi Batman

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PELAKON Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz akui simpan keinginan yang tinggi untuk melakonkan watak adiwira Batman yang popular di seluruh dunia.

Ungku Ismail, 34, berkata, biarpun menyedari impiannya sukar menjadi kenyataan, dia berharap akan berpeluang melakonkan watak lain yang hampir ke arah itu.

"Batman ciptaan Hollywood dan saya sedar tidak akan dapat melakonkannya. Tapi, saya tetap ada keinginan untuk lakonkan watak ini.

"Mungkin ada produksi kita yang nak buat filem Keluang Man dan berminat ambil saya sebagai hero," katanya kepada Harian Metro.

Filem Batman asalnya daripada komik fiksyen rekaan Bob Kane dan penulis Bill Finger pada 1939.

Ia seterusnya dihasilkan dalam bentuk animasi tv dan pada 1966 diadaptasi pula ke filem.

Pelakon yang popular dengan watak Alif Firdhaus menerusi drama Adellea Sofea itu berkata, dia membesar dengan karakter Batman dan tahu pelakon mana yang boleh melakonkannya dengan baik.

"Saya ada banyak komik dan koleksi Batman suatu ketika dulu. Dalam filem pula, pelakon Michael Keaton dan Christian Bale antara yang bagus bawa watak ini.

"Tapi, Val Kilmer agak kurang menjadi dan saya terfikir, bagaimana pula jadinya jika saya pula yang lakonkan watak itu," katanya.

Ujarnya lagi, apa yang pasti ia adalah satu karakter fantasi dan cabaran buatnya jika diberi peluang berlakon sebagai Batman.

"Setakat ini, saya dah pernah bawa watak suami, bapa, antagonis serta baik dan ia hanya setakat itu," katanya.

Menurutnya sekiranya membawakan watak fiksyen, dia perlu menunjukkan kemampuan untuk orang percaya Batman itu wujud.

"Saya bukan nak bagi orang fikir logik, tetapi terdapatnya banyak persoalan yang memerlukan kita berfikir ia logik atau tidak.

"Apapun, saya nak buat benda yang tak logik pada penonton dan ia mampu dipercayai mereka.

"Ini memang impian saya dan jika orang tanya, beginilah jawapan saya," katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 3:42pm
d