rap

'Kena pikat dulu hati ibu saya' - Kucaimars

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI Kucaimars, 22, bersikap terbuka berkongsi syarat utama kriteria wanita yang dicari untuk menjadi kekasih hatinya.

Kucaimars atau nama sebenar Amirul Husyairi ditemui berkata wanita berkenaan harus bijak mengambil hati ibunya dan penyayang.

"Saya adalah anak emak. Hubungan dengan emak sangat rapat dan wanita itu harus tahu hormat pada orang tua.

"Jika dia (wanita berkenaan) pandai ambil hati emak saya, itulah pilihannya. Saya utamakan restu ibu bapa," katanya.

Ditanya apakah dia sudah bertemu wanita idaman, Kucaimars berkata sekarang belum masa untuk dia memikirkan soal cinta.

"Saya masih muda. Usia pun baru 22 tahun dan perjalanan kerjaya seni agak jauh dan harus gigih teruskan usaha lagi.

"Setakat ini, saya belum terfikir untuk bercinta. Apapun, antara ciri-ciri wanita pilihan saya pastinya yang direstui oleh ibu," katanya.

Kucaimars yang makin dikenali dengan lagu Jawab dan Khayalan berkata dia juga sebenarnya kurang selesa terlalu berkongsi cerita peribadi.

"Saya kalau boleh mahu lebih dikenali masyarakat dengan bakat dan karya seni dipersembahkan berbanding kisah cinta.

"Sejujurnya, saya kurang selesa berkongsi cerita peribadi dan akan memastikan ia berpada-pada hingga tidak melebihi kerjaya," katanya.

Kucaimars yang kini bernaung dengan Warner Music memberitahu selain menyanyi solo, dia juga bergerak aktif menyanyi secara berkumpulan.

Aktif dalam aktiviti seni sejak usia 15 tahun, Kucaimars berkata dia memiliki kumpulan pemuzik sendiri dikenali sebagai‘Q4’.

Biarpun masih baru dalam arena muzik arus perdana, Kucaimars pernah dicalonkan dalam Era Digital Music Award (EDMA) 2018 lalu menerusi kategori Penyanyi Paling Lit Di Media Sosial.

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 5:43pm
d