rap

'Nak kahwin sebelum umur 30' - Fikry

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Fikry Ibrahim menyasarkan untuk menamatkan zaman bujang sebelum mencecah usia 30 tahun.

Fikry, 26, ketika ditemui berkata, tahun ini dia mahu memberi fokus terhadap perniagaan dan karier seni.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kehadiran dalam industri seni lakonan semakin mendapat tempat di hati penonton dan tawaran berlakon masih ada.

“InsyaAllah, tahun ini saya bakal terbabit dalam filem yang belum dapat dikongsikan lagi. Namun, saya sangat teruja apabila tahun ini banyak perkara indah yang bakal saya harungi antaranya menguruskan perniagaan Go Eat.

“Soal cinta dan kahwin itu saya tangguhkan dulu. Lagipun saya masih solo dan belum terfikir untuk berkahwin. Bagaimanapun, sebelum usia 30 tahun saya sudah mempunyai keluarga. Doakan yang baik-baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi penghantaran makanan dan platform masakan dari rumah pertama, Go Eat di Damansara, semalam.

Fikry yang juga pengasas bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman berharap aplikasi itu mencapai matlamat dan berjaya.

“Saya berharap dengan pelancaran aplikasi ini bisnes terbaru yang diusahakan untuk membantu golongan muda serta ibu tunggal untuk menjana pendapatan lumayan setiap bulan mencapai sasaran.

“Untuk permulaan, aplikasi ini bakal bermula di Cyberjaya untuk tempoh beberapa bulan, kemudian akan menakluk seluruh kawasan Lembah Klang dan seluruh negeri.

“Saya terpanggil untuk menyediakan perkhidmatan ini selepas melihat ramai menjalankan perniagaan dari rumah belum berjaya meskipun menawarkan makanan yang sedap.

“Jadi, saya sediakan platform ini berserta penghantaran untuk membantu mereka. Saya percaya ramai yang suka dengan masakan dari rumah kerana rasanya yang lazat. Saya harap inisiatif ini akan dipermudahkan dan berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 2:15pm
d