rap

Masih resah respons peminat

Oleh Norhayati Nordin

TAMPIL dengan drama baharu, Seadanya Aku di slot Akasia TV3 sempena kemunculan semulanya membuat perasaan pelakon, Azlee Khari, 31, bercampur-baur antara teruja dan bimbang.

Azlee berkata, dia teruja kerana mendapat peluang untuk kembali aktif dalam kerjaya lakonannya, manakala bimbang apabila memikirkan bagaimana reaksi penerimaan penonton drama itu.

“Sudah lima tahun saya berehat daripada lakonan, tidak dinafikan sedikit sebanyak memang kebimbangan itu dirasai walaupun sudah melakukan sebaik mungkin.

“Saya boleh terima apa saja pandangan dan kritikan daripada penonton. Cuma, perasaan saya yang kurang selesa dan ada pelbagai reaksi dirasakan,” katanya.

Menerusi drama adaptasi novel terbitan Country Universal Sdn Bhd itu, Azlee sekali lagi berlakon dengan heroin lamanya, pelakon Zara Zya.

Berbicara juga soal gosip dan cerita sensasi, Azlee berkata, pada usia sudah sangat matang iaitu 31 tahun, dia sebenarnya enggan terpalit dengan sebarang kontroversi.

Pemilik nama sebenar Azlee Khairi Zulah Hainee ini memberitahu, cukup dengan apa yang pernah dilaluinya ketika nama berada di puncak populariti dan jadi perhatian ramai.

“Sekarang, bukan populariti yang saya kejar. Apa diimpikan ialah bakat lakonan saya mendapat penerimaan baik penonton termasuk peminat berpuas hati.

“Jika ada rezeki, saya mahu persembahan lakonan dicalonkan dalam majlis anugerah yang penilaian pemenang dilakukan juri berkaliber. Saya ingin diiktiraf pelakon terbaik.

“Apapun, fokus saya sekarang mahu memantapkan semula kerjaya seni. Selain itu, saya mahu berusaha mengumpul pengikut yang ikhlas menyokong saya dalam karier di media sosial,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran pengikut media sosial yang mahu dikumpul, Azlee berkata, dia tidak ada jumlah tertentu. Katanya, terpulang pada penonton yang menjadi pengikutnya di Instagram (IG).

“Perkongsian saya di IG lebih tertumpu kepada memberitahu peminat mengenai perkembangan kerjaya lakonan. Saya kurang selesa berkongsi perihal kehidupan peribadi.

“Kalau ada yang dikongsi, saya selalu pastikan ia tidak keterlaluan. Bagi saya, lebih baik peminat yang menjadi pengikut saya memberi perhatian pada projek lakonan.

“Alhamdulillah, buat masa sekarang saya mendapat sokongan padu peminat. Malah, mereka boleh terima cara saya dan tidak timbul sebarang persoalan tidak diduga,” katanya.

Selain Zara Zya, drama Seadanya Aku turut dibintangi pelakon Datin Elvina Mohamad dan Redza Rosli. Selain itu, Azlee juga akan muncul dalam drama, Maaf Tak Indah untuk tayangan di TV3.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 6:30am
d