rap

Kerdipan bintang kian menyerlah

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SEDEKAD berlalu sejak kemunculan pertamanya dalam program realiti Astro Star Quest pada 2009, kini nama penyanyi, pelakon dan pengacara, Alvin Chong semakin meningkat naik dan bintang seninya kian bersinar.

Tahun lalu menyaksikan penyanyi yang mesra disapa sebagai Alvin ini melakar sejarah peribadi apabila dijemput mewakili Malaysia dalam acara berprestij antarabangsa Asia Song Festival 2019 di Korea Selatan.

Bagi membuka lembaran seninya untuk tahun ini, Alvin muncul dengan single terbaharu berjudul Tak Terganti. Ia juga adalah single solo keempat Alvin dalam bahasa Melayu selepas Lagumu (2016), Mencintaimu (2017) dan Tajam (2018).

“Tak Terganti adalah hasil ciptaan Ariadinata, penyanyi kumpulan Samsons dari Indonesia yang pernah popular di Malaysia dengan lagu Kenangan Terindah dan Naluri Lelaki. Lagu ini turut mendapat sentuhan penerbit antarabangsa, Bryan B sebagai penggubah dan penerbit rakaman.

“Penerbit yang berasal dari Australia ini pernah bekerjasama dengan artis terkemuka antarabangsa lain seperti Sean Kingston, Christian Alexanda, Darren Espanto, Brandon Beal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan DeFAM.

“Menariknya, lagu ini diberikan suntikan elemen pop-EDM memiliki kekuatan melodi yang mesra telinga dan lirik yang mudah diingati. Apa yang pasti, lagu yang mengangkat tema cinta ini turut menyaksikan vokal dan penyampaian yang saya anggap semakin matang, sekali gus membezakan lagu ini daripada lagu saya sebelum ini,” katanya.

Mengimbas kembali kerjayanya seninya dalam pasaran Melayu, Alvin mula mencuri perhatian selepas diberi peranan watak utama dalam Awak Suka Saya Tak? bersama Emma Maembong.

Selain itu, lakonan Alvin turut mendapat pujian dalam drama Dia Semanis Honey, Suri Hati Mr Pilot dan Mak Cun.

“Sejak dilamar bernaung di bawah pengurusan syarikat rakaman Universal Music Malaysia pada 2017, kerjaya nyanyian saya semakin menyerlah.

“Apatah lagi selepas merakam lagu duet bersama penyanyi Filipina, Isabela Vinzon untuk single berbahasa Inggeris We Got This pada 2018 dan lagu duet bersama penyanyi Indonesia, Dea Dalila untuk single bahasa Melayu iaitu Mencintaimu 99% juga pada tahun sama.

“Saya berharap dengan dengan kemunculan single terbaharu ini, ia dapat menempatkan lagi diri saya sebaris penyanyi lelaki sedia ada,” katanya.

Lagu itu dilancarkan secara rasmi di semua platform muzik digital sejak Jumaat lalu.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 6:45am
d