rap

Mesej Islam dalam karya Jae Deen

Oleh Najiy Jefri

PERJALANAN hijrah penyanyi antarabangsa, Jae Deen daripada seorang mualaf sehingga berjaya menulis 30 juzuk al-Quran sememangnya patut dicontohi.

Pemilik nama sebenar Joshua Asare atau lebih dikenali sebagai Jae Deen adalah selebriti terkenal dari Kanada yang dikenali dengan genre muzik hip hop atau rap.

Jejaka ini mula menampilkan diri dalam industri muzik melalui duo dengan menggelarkan diri mereka Deen Squad, namun selepas penghijrahan dia meneruskan perjuangan secara solo.

Pernah berduet dengan artis seperti Harris J dan ramai artis terkenal dari Amerika Syarikat serta Eropah, Jae Deen pernah tampil dalam sesi pembukaan konsert Justin Bieber di Kanada ketika bersama Deen Squad.

Mengharungi perjalanan hijrah daripada seorang yang dilahirkan bukan beragama Islam di Ottawa, Kanada sehingga memeluk Islam ketika berusia 15 tahun, Jae Deen mengakui berdepan banyak pengalaman manis dalam hidupnya.

“Saya mula mendapat hidayah dan tertarik dengan agama Islam apabila diperkenalkan dengan Surah Maryam oleh sahabat di kolej.

“Persamaan yang ada di dalam kisah yang tertulis dalam surah Maryam berkaitan kelahiran Nabi Isa AS dengan apa yang dipelajari daripada agama asal menarik minat saya untuk lebih mendalami al-Quran hinggalah akhirnya memeluk Islam pada 2010.

“Walaupun mendapat tentangan hebat daripada keluarga terutama ibu bapa, saya tetap meneruskan perjalanan hijrah. Saya mengambil subjek Kesusateraan Islam ketika di universiti dan banyak mendalami Islam dengan menghadiri kelas agama di Kanada,” katanya.

Mengakui pernah berdepan detik sedih apabila apa yang dipelajari tidak difahami maksud, Jae Deen nekad mencabar dirinya.

“Saya pernah rasa sangat sedih kerana tidak memahami apa yang dibacakan imam ketika solat Tarawih dan mengaku cemburu dengan jemaah lain yang menangis ketika mendengar surah dibaca kerana memahaminya.

“Sejak itu saya tekad mendalami bahasa Arab dan mengambil kelas Bahasa Arab Fusha (rasmi). Bermula dari situ, saya memulakan usaha menulis ayat al-Quran dan terjemahan setiap hari bermula daripada surah al-Fatihah sehingga habis seluruh al-Quran iaitu Surah An-Nas.

“Pada mulanya, ia sangat sukar dan ada masanya saya sangat kecewa dan hampir putus asa” katanya yang menceritakan pengalaman ketika cuba menulis ayat al-Quran.

Siapa sangka dalam tempoh kurang enam bulan, Jae Deen berjaya memahami maksud ayat al-Quran dan berkongsi gambar atau video usahanya itu di media sosial bagi menggalakkan remaja lain juga mendalami al-Quran.

“Atas kecintaan yang mendalam terhadap Islam, kegigihan dan pengalaman dalam memahami dan menyebarkan kefahaman terhadap al-Quran kepada remaja, saya dikurniakan anugerah The Quran Light of The People Award dalam sebuah program konvensyen Islam terbesar di Amerika Utara iaitu MAS ICNA pada 2018,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya nyanyian, Jae Deen berkata, dia mengambil pendekatan menggabungkan mesej Islam yang hendak disampaikan kepada remaja melalui karya muzik.

“Lagu yang saya hasilkan banyak menyentuh isu berkaitan Islam di Amerika Syarikat, perkauman, tekanan mental dan wanita Islam.

“Saya juga giat mendalami bahasa Melayu kerana bakal bekerjasama dalam single baharu bersama artis dari Malaysia. Ia juga dapat membantu memudahkan saya dalam urusan promosi,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 7:30am
d