rap

Murali syukur kena angin ahmar

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

HIKMAHNYA ketika terbaring di katil hospital, saya belajar bersabar. Saya sangat-sangat bersyukur kena angin ahmar kerana dalam tempoh itu saya dapat belajar Iqra,” kata pengarah Murali Abdullah.

Murali, 56, yang juga Pengarah Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK) 2008 menerusi drama Suara Saleha dan mengulanginya pada ASK 2010 menerusi drama Sebelum Akhirat, diserang angin ahmar pada November 2018 dan menerima rawatan di Wad Neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama sebulan.

Selepas dibenarkan keluar, dia hanya menghabiskan masa dengan berehat di rumah kerana tangan dan kakinya sukar bergerak.

“Saya mengakui sebelum ini tak pandai baca Iqra dan Al-Quran sebagaimana sekarang. Di hospital, ada guru khas yang datang melawat dan mengajar saya. Saya belajar Iqra sampai peringkat enam. Kemudian diteruskan pula dengan Al-Quran. Sekarang saya dalam proses nak belajar bahasa Arab.

“Saya suka mengarah drama konsep Islamik. Tapi sebelum ini, saya hanya mengarah berdasarkan apa yang saya tahu mengenai Islam. Kebanyakan nilai Islamik yang saya tonjolkan hanya asas,” katanya.

Murali yang sudah hampir 25 tahun memeluk Islam berkata, dia sebenarnya tidak pandai langsung membawa tulisan jawi dan semua ayat-ayat Al Quran.

“Memandangkan saya selesa dengan guru ini, saya kekal belajar Al-Quran dengan dia. Baru sekarang berlaku perubahan dalam hidup saya. Saya rasa orang industri juga perlu belajar semula Iqra kerana bukan semua orang boleh membacanya dengan baik. Dengan cara ini barulah kita dapat menghasilkan karya berbentuk Islamik yang baik,” katanya.

Murali yang kini dalam proses pemulihan percaya, dia mampu untuk berjalan semula enam bulan dari sekarang.

“Saya kini sentiasa positif. Setahun lebih terlantar atas katil, tapi otak sentiasa berfikir. Saya sekarang sedang usahakan untuk mendapatkan pengiktirafan kerajaan terhadap pengarah-pengarah drama dan filem.

“Kita akan dapat sijil yang diiktiraf dan boleh diguna pakai dalam bidang ini. Saya takkan selama-lamanya mengarah dan dengan adanya sijil ini boleh jadi tenaga pengajar. Walaupun masyarakat tahu kami adalah pengarah, saya difahamkan kerajaan seperti tak tahu kewujudan kami. Itulah sebabnya kerajaan tak memperuntukkan bajet khas untuk kami dalam belanjawan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, pengarah-pengarah yang berminat hanya perlu mendaftar diri di Kolej Teknologi MEA, Kajang dan mengikuti kelas selama tiga bulan sebelum layak menerima sijil.

“Mereka tak perlu bersusah payah sangat kerana penilaian dibuat berdasarkan pengalaman kerja. Pembelajaran juga secara percuma kerana ditaja oleh sebuah bank.

“Sijil dan Diploma ini diiktiraf dan laku digunakan kerana dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia. Saya gembira kerana ramai rakan-rakan industri seperti Z Lokman, Fauziah Nawi, Aziz M Osman dan ramai lagi hadir menyokong.

“Saya anggap Tuhan bukakan peluang ini kepada saya. Jadi apa salahnya saya tinggalkan sesuatu sebelum meninggal dunia dan tolong kawan-kawan lain untuk maju ke depan,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2020 @ 10:28am
d