rap

PU Abu curang lagi?

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“APA yang tular adalah spekulasi semata-mata dan tidak berdasarkan kenyataan yang sebenar. Gambar yang tersebar tidak dapat dipastikan sumbernya kerana ia lebih bersifat cuba mengaibkan seseorang,” kata pendakwah bebas, PU Abu berhubung dakwaan dirinya curang dengan wanita lain.

PU Abu atau nama sebenarnya Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi menerusi status dimuatnaik di Instagram berkata, dia akan menjelaskan perkara sebenar apabila pulang ke tanah air dalam tempoh dua hari lagi.

Malah, PU Abu yang baru berkahwin dengan wanita dikenali Hana Azraa yang juga janda anak satu berkata apa yang berlaku sekadar salah faham.

“Assalamualaikum dan salam tabaiyyun. Saya mengambil maklum berhubung berita yang tular semalam membabitkan diri saya dan isteri.

“Saya kini berada dan bertugas di Makkah dan akan balik ke Malaysia dalam sehari dua ini. Insya Allah, saya akan mengeluarkan kenyataan yang akan menjelaskan situasi sebenar berhubung berita itu.

“Harap rakan media boleh bersabar. Tetapi hakikat yang sebenarnya, hal yang membabitkan kecurangan tidak berlaku dan hanyalah salah faham,” katanya.

Terdahulu, Hana Azraa memuat naik sekeping foto wanita tidak bertudung di Instagram.

Menerusi perkongsian itu, Hana mendakwa wanita itu dipercayai kekasih hati suaminya yang baru.

“Adakah ini dia? Betapa lovely kekasih hati awak #myhusbandlover #whoisshe #youknowher,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Walaubagaimanapun, status itu dipadam tidak lama kemudian.

Pasangan itu berkahwin pada Mei lalu dan mereka kini sedang menanti kelahiran anak sulung hasil perkongsian hidup bersama.

Sebelum ini, kisah rumah tangga PU Abu menjadi perhatian umum apabila bertindak menceraikan isteri pertamanya, Ain ‘Afini selepas memilih untuk bernikah dengan Hana.

PU Abu dan Ain dikurniakan seorang bayi lelaki, Muhammad Adam Aysar pada 7 Jun tahun lalu.

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 1:00pm
d