rap

'Harap temu jodoh sebelum usia 30 tahun'

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI dan pelakon, Amira Othman, 27, menyimpan impian dapat menamatkan zaman solonya sebelum usia 30 tahun.

Amira atau nama sebenar Nadia Amira Othman berkata, ia impian baharunya berikutan hasrat sebelum ini sudah tersasar.

"Sebenarnya, saya pernah membuat kenyataan mahu berkahwin pada usia 27 tahun tetapi hingga kini belum ada calon.

"Jadi, saya fikir soal jodoh biarlah Allah tentukan. Namun, jika sudah ada calon, saya takkan berahsia.

"Buat masa ini, apa yang boleh dikongsi saya hanya mampu terus berdoa kepada Allah SWT," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hati-Hati dan Jaga-Jaga ini berkata, dia juga enggan dilabel 'syok sendiri'.

"Soal jodoh, ajal dan rezeki adalah rahsia Allah. Oleh itu, pada saya tidak perlu terlalu memikirkannya.

"Setakat ini, saya pun tidak berasa tertekan kerana tiada teman lelaki. Ia berikutan, banyak perkara yang nak saya buat lagi.

"Tidak perlu tergesa-gesa mengejar jodoh. Untuk saya, harapan tetap ada sebelum usia 30 tahun," katanya.

Amira yang bergelar 'hajah' pada usia 26 tahun berkata, apa yang paling utama adalah kehidupan tenang.

Ujarnya, selain aktif dengan kerjaya seni dia juga terbabit melakukan aktiviti amal dan kemanusiaan.

Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 1:26pm
d