rap

Elly Mazlein dirai meriah di Kuala Krai

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein meluahkan rasa syukur kerana kehadirannya di majlis sambut menantu yang berlangsung di kampung suami, cikgu Azlan di Kuala Krai, Kelantan, disambut meriah.

Elly ketika dihubungi berkata, dia berasa sangat bahagia kerana dapat meraikan majlis resepsi itu bersama keluarga serta sahabat handai yang hadir.

"Alhamdulillah, tamat sudah lima majlis persandingan saya dan suami. Semuanya berjalan dengan lancar seperti dirancang.

"Ramai saudara mara dan sahabat handai terutama rakan suami yang hadir meraikan kami. Terasa sungguh kemeriahannya untuk majlis ini dan cuaca pun sangat baik," katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, majlis itu juga diadakan dalam suasana kampung dan penuh dengan tradisi.

"Kemeriahannya memang istimewa kerana saya dapat merasai kenangan majlis keramaian di kampung. Ada kompang, ada proses memasak beramai-ramai, karaoke dan ada deejay yang mengendalikan majlis," katanya.

Tambah Elly, dia sekeluarga juga meluangkan masa selama lebih dua jam untuk beramah mesra bersama tetamu yang hadir.

"Saya, suami dan anak kami, Putri Sara Sefhia meluangkan masa dari jam 1 tengah hari hingga 3.30 petang untuk melayan semua tetamu," katanya.

Majlis menyambut menantu ini adalah majlis kelima selepas majlis merisik, bertunang, malam berinai, akad nikah dan resepsi yang berlangsung sebelum ini.

Elly dan Azlan yang juga guru sekolah di Puchong bernikah pada 18 Januari lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 6:23pm
d