rap

Video muzik empat episod

Oleh Sudirman Mohd Tahir

JUARA program Akademi Fantasia (AF) 2016, Amir Masdi, 24, menampilkan kelainan pada video muzik rasmi single terbarunya, Asmara dengan melancarkan cerita Asmara The Series yang ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos.

Siri yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Sandakan, Sabah itu diterbitkan sebanyak empat episod dan satu episod khas menerusi videomuzik rasmi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi berkata, penamat kepada jalan cerita itu akan dipaparkan dalam video muzik Asmara.

“Siri ini ada empat episod dan penamat jalan cerita pada video muzik rasmi. Jika peminat dan penonton ingin tahu keseluruhan jalan cerita kena menonton daripada episod pertama.

“Bagi saya, ini sesuatu yang baharu dalam penerbitan video muzik. Kebiasaannya orang buat filem pendek satu episod saja, tapi saya dan pasukan inginkan kelainan. Jadi, lahir idea untuk menghasilkan Asmara The Series,” katanya.

Lebih menarik, ini pembabitan pertama Amir dalam bidang lakonan semata-mata untuk menjayakan video muzik Asmara.

Amir turut berterima kasih kepada pengarah, Khairul Hazwan atau KH yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang enam hari di lokasi penggambaran.

“Konsep, jalan cerita dan skrip semuanya daripada Abang KH. Dia banyak beri tunjuk ajar kepada saya. Diakui, berlakon bukan mudah dan saya memang kekok. Ini kali pertama saya berlakon dengan watak berbeza.

“Dalam masa sama, ini juga kali pertama saya berjumpa Dhia iaitu pelakon wanita dalam siri ini. Jadi, nak mendapatkan keserasian memang sukar. Atas nasihat dan tunjuk ajar, saya mampu juga buat dan habiskan penggambaran mengikut waktu.

“Pastinya ini satu lagi pengalaman baharu untuk saya. Saya berharap siri ini akan mendapat sambutan dan orang suka dengan jalan cerita dipaparkan,” katanya.

Amir berkata, jalan cerita siri ini berkisarkan kisah cinta remaja masa kini. “Ia tidak ada kaitan dengan saya pun. Secara peribadi, saya tidak pernah melalui kisah yang dipaparkan dalam siri ini. Ia dibuat khas untuk video muzik Asmara,” katanya.

Episod pertama Asmara The Series sudah ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos sejak 16 Januari lalu.

Episod seterusnya pula akan ditayangkan pada setiap Jumaat di mana setiap episod berdurasi empat minit.

Terdahulu, single Asmara terbitan Nova Music dan Seventeen Eleven Music itu dilancarkan pada 26 Disember lalu.

Lebih menarik, single itu dipilih menjadi lagu tema drama Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis lakonan Nafiz Muaz dan Uqasha Senrose yang ditayangkan di slot Drama Vaganza saluran Astro Ria.

Asmara adalah hasil ciptaan komposer Ikhwan Fatanna, Ayden Ali dan John Jeevasingham, manakala lirik pula ditulis bersama penerbit drama berkenaan iaitu Arisz Ab Rahman.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 7:00am
d