rap

Ayda Jebat okay je

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Ayda Jebat tetap optimis walaupun namanya tiada dalam senarai pencalonan awal Top 20 di Anugerah MeleTop Era (AME) 2020 yang diumumkan semalam.

Walaupun lagu nyanyiannya, Temberang berjaya mencetus fenomena luar biasa dengan mencatat 25 juta tontonan dalam tempoh setahun di YouTube, Ayda langsung tidak berkecil hati kerana menganggap jumlah tontonan di YouTube adalah satu kemenangan buatnya.

Selain itu, Ayda turut mencuri perhatian menerusi drama bersiri lakonannya iaitu Cindai di TV3.

“Tiada apa yang perlu saya kejar sekarang melainkan terus fokus menghasilkan lagu-lagu berkualiti dan mesra pendengar.

“Kejayaan lagu Temberang adalah anugerah yang sudah diberikan peminat apabila mereka terus menyokong lagu ini sehingga berjaya meraih 25 juta tontonan. Saya okay saja kerana impian saya tahun ini adalah untuk tampil dengan album mini. Doakan supaya semuanya dipermudahkan," katanya.

Menurut Ayda, jika dulu kejayaan demi kejayaan diraih, kali ini biarlah anugerah itu bertukar tangan kepada artis lain.

“Saya sudah puas dan bersyukur atas kemenangan sebelum ini. Biarlah penyanyi baru yang mengambil-alih kerana mereka akan menyambung legasi ini.

“Bagi saya, kecewa tidak pernah wujud kerana saya seorang yang sangat positif. Ini semua adalah soal rezeki. Bagi yang berjaya saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya,” katanya.

Ayda mengungguli AME pada 2015 dan 2016 menerusi kategori utama Artis Top Top MeleTop Wanita. Pada AME 2016, Ayda turut memenangi kategori Penyanyi MeleTop, Pelakon MeleTop dan Lagu MeleTop Era menerusi lagu Siapa Diriku.

Pada AME 2017, dia turut memenangi kategori Lagu MeleTop Era menerusi lagu Pencuri Hati.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 2:13pm
d