rap

Nora teruskan kehidupan, enggan layan kesedihan [METROTV]

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“DIA meninggal dunia kerana faktor genetik. Lebih kurang begitulah. Satu lagi adalah kerana ketentuan ajal,” kata penyanyi popular Nora Ariffin, 46, berkaitan punca kematian anaknya Muhammad Syakir Alif Johan, 20, pada 15 Disember lalu.

Pada hari pengebumian Alif, Nora memaklumkan punca kematian anaknya itu masih tidak diketahui walaupun bedah siasat sudah dijalankan pada sebelah paginya.

Nora berkata, ada juga orang yang sakit terlantar namun selagi belum sampai ajal, dia masih bernafas.

“Ada juga orang yang sihat seperti pemuzk Lok U tiba-tiba meninggal dunia, baru-baru ini. Saya terkejut kerana ketika Mentor Milenia dia selalu duduk berbincang dengan Alif.

“Walaupun menjaga kesihatan, apabila sampai ajal akan meninggal dunia juga,” katanya apabila diajukan perkara ini pada sidang media perlantikannya sebagai wajah produk penjagaan kecantikan Prettian Malaysia, hari ini.

Dia dilantik sebagai duta untuk produk penjagaan kesihatan dari Korea Selatan itu selama setahun.

Menurut Nora, kata-kata semangat daripada arwah Alif juga menjadi pendorong untuknya segera bangkit daripada kesedihan dan hadir ke majlis ini.

“Saya sebenarnya tak nak fikir masalah kerana masalah memang selalu ada. Lagipun rasanya semua orang ada masalah. Sekarang sudah masuk 45 hari Alif pergi dan baru-baru ini kami buat tahlil sempena hari ke-40. Saya juga tiada edah yang perlu dituruti. Perbincangan bersama produk ini juga dibuat ketika Alif masih ada,” katanya.

Nora berkata, sebelum ini kakitangannya seperti takut untuk menyuruhnya kembali aktif kerana menyangka dia belum bersedia.

“Saya sendiri bercakap kepada pembantu saya untuk teruskan aktiviti yang sudah dirancang seperti program umrah dan sidang media hari ini. Bagi saya tiada gunanya nak meleret layan kesedihan. Namun siapa kata tak sedih kerana perasaan itu tetap ada. Tetapi ketika Alif ada, dia memang nak saya gembira dan sibuk bekerja. Saya ambil semangat dia untuk terus aktif dan teruskan hidup,” katanya.

Nora turut mengakui semangatnya kuat apabila melihat anak-anaknya yang lain sangat memerlukannya. “Mereka sudah kehilangan dua tonggak iaitu ayah dan abang. Manakala anak sulung saya, Iman sudah berkahwin dan tinggal berasingan.

“Saya ‘move on’. Bagaimana sedih dan rindu pun, saya kena ‘move on’. Saya pun tak sangka dapat benda-benda begini. Selagi hidup kita memang tak dapat lari dari ujian. Saya pegang tiga benda iaitu sabar, reda dan bersyukur. Kadang-kadang kita bersyukur apabila membabitkan perkara gembira. Tapi kita lupa bersyukur terhadap ujian yang Allah timpakan,” katanya.

Sementara itu, bercakap soal jodoh, Nora yang kematian suami, Johan Nawawi pada 24 Mac 2017 menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan takdir.

“Sudah tiga tahun berlalu dan saya hanya berserah. Saya tak nak cakap terlampau lebih sangat bimbang lain jadinya.

“Kalau benda baik yang selalu kita doa, Allah akan bagi benda baiklah. Apabila sampai masanya, sampailah. Kalau nak cari yang macam arwah memang susah kerana sifat manusia itu tak sama. Tapi bukanlah saya nak cari. Kalau ia datang dan anak-anak okay, saya okay,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 6:18pm
d