rap

Tarikh konsert bertembung

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

MEMASUKI Februari 2020, industri hiburan tanah air mula rancak dengan pelbagai agenda yang sudah disusun pelbagai pihak.

Antara yang mencuri perhatian peminat tentunya ialah penganjuran konsert berskala besar membabitkan nama popular.

Ia sesuatu yang positif bagi merancakkan keadaan. Bagaimanapun yang kurang bagusnya apabila tarikh konsert ini bertembung sesama sendiri.

Mengambil contoh, Konsert Awie Romantika yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam pada 15 Februari berlangsung serentak dengan Konsert Kembara Kita Ramli Sarip & Ella di Istana Budaya pada 14 dan 15 Februari depan.

Peminat pastinya teruja mahu menonton konsert ini, namun mungkin terpaksa membuat perkiraan tepat kerana ia membabitkan kos besar.

Cuit Sikit minggu ini mendapatkan komen beberapa artis dan wakil persatuan seni berkaitan isu terbabit.

Siti Nordiana (penyanyi, pelakon)

Penganjur perlu peka dalam pemilihan tarikh konsert yang sesuai untuk mengelakkan pertembungan, sekali gus memeningkan kepala peminat.

Memang sukar untuk membuat pilihan menyaksikan sama ada konsert Datuk Awie atau Datuk Ramli dengan Ella kerana mereka semuanya bertaraf legenda.

Alangkah baiknya jika ada sedikit jarak masa yang sesuai kerana daripada situ peminat boleh merancang perbelanjaan untuk menyaksikan konsert artis pujaan mereka.

Selain itu, harga juga memainkan peranan. Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi sekarang, semua pihak berhati-hati dalam berbelanja.

Ayob Abdul Majid (Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia atau IRAMA)

Konsert Awie Romantika sudah dihebahkan awal iaitu sebelum Oktober tahun lalu. Konsep dan genre muziknya sama dengan apa yang ditampilkan Datuk Ramli dan Ella di Istana Budaya.

Peminat yang ada pun lebih kurang sama orangnya. Jadi, penganjur sepatutnya ambil kira apabila nak anjurkan sesuatu konsert. Perlu ada tolak ansur dan pihak yang mengalah kerana dengan konsep dan peminat yang sama ini, pasti akan menjejaskan jualan tiket atau sambutan salah satu pihak.

Sepatutnya, penganjur merujuk pelbagai pihak untuk semak jadual konsert supaya perkara ini tak berlaku. Lagipun ia untuk kebaikan penganjur itu sendiri kerana mereka yang keluarkan kos. Artis hanya dibayar untuk buat persembahan, namun andai kata konsert gagal populariti mereka akan terjejas dan mungkin mereka disalahkan.

Datuk Nash (penyanyi)

Artis tak patut disalahkan dalam perkara ini sebaliknya penganjur yang bertanggungjawab. Memang tak kena kalau nak suruh artis itu buat kerja rumah atau tanya semua orang sama ada ada konsert lain yang berlangsung serentak dengan konsertnya.

Penganjur pun mungkin tak menyangka perkara ini berlaku. Namun mereka sepatutnya bertanya pelbagai pihak sebelum rancang anjurkan konsert. Peminat kita tak ramai dan adalah merugikan apabila ada dua konsert bertembung.

Cuma, misalnya Istana Budaya sudah ada jadual program yang disusun untuk setahun dan patutnya boleh dijadikan panduan untuk sesiapa yang nak buat konsert berskala besar lain.

Katakan kalau saya buat konsert di Stadium Negara, tapi saya tahu ada artis lain buat konsert di Istana Budaya pada tarikh sama, pasti saya akan tarik diri. Tapi kalau saya buat di Stadium Negara dan artis lain buat di Stadium Malawati, ia mungkin bertembung tanpa disengajakan dan tak boleh buat apa-apa.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 8:00am
d