rap

Langkah anak seni

Oleh Norhayati Nordin

LEBIH dua tahun aktif berlakon, Shahkimin, 31, semakin memahami perjalanan hidup sebagai anak seni.

Mula serius sebagai pelakon sekitar 2017, Shahkimin mengakui dia enggan mengalah dan mahu terus mencuba.

“Kepercayaan pengarah filem, Osman Ali untuk saya membintangi filem Langsuir adalah langkah awal.

“Apa yang pasti, saya enggan menoleh ke belakang dan sekali melangkah maka wajar untuk teruskan usaha,” katanya.

Yakin dengan rezeki ditentukan Allah SWT, Shah berkata, dia gembira pementasan dijayakannya teater.

“Pengalaman menjayakan teater muzikal Semarak Pertiwiku di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) baru-baru ini sangat bermakna.

“Karakter sebagai David yang saya lakonkan tak sangka berjaya menarik perhatian penonton.

“Bimbang juga pada mulanya untuk beraksi di IB kerana saya berasakan pengalaman tidak sebanyak mana.

“Saya masih baru dalam lakonan dan kebanyakan drama dibintangi pula watak sebagai pelakon pembantu,” katanya.

Pemilik nama sebenar Mohd Shahrul Hakimi Mohamad Amin ini berkata, dia bagaikan mencabar diri sendiri.

“Ia peluang terbaik buat saya beraksi di IB, jadi adalah wajar untuk memberikan persembahan berkesan.

“Orang yang menonton kenal atau tidak kepada saya, biarlah. Asalkan yang utama, saya puas dengan persembahan dibuat,” kataya.

Sehubungan itu, teater muzikal Semarak Pertiwiku sebelum ini pernah dipentaskan di Kuching, Sarawak pada Julai tahun lalu.

Teater sarat mesej dan iktibar kepada masyarakat berkenaan nilai integriti dengan jauhi rasuh itu dipentaskan dua hari pada 30 dan 31 Januari lalu.

Selain Shahkimin, teater itu diterajui pelakon seperti Ungku Ismail Aziz, Sherry Merlis, Anding Indrawani, Shah Kimin, Taufik Hanafi, Chopie Chakap dan Elya.

Untuk drama, Shahkimin sudah membintangi drama seperti Sejuta Rasa Buat Adelia, Hilang Akal, Isteri Bukan Untuk Disewa, Satu Hari Satu Ketika dan terbaru, Kampung People di TV3.

Apapun, Shahkimin yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan fasih juga sering berlakon iklan komersial.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 7:30am
d