rap

Enggan terikat satu genre

Oleh Najiy Jefri

KEJAYAAN dilakar penyanyi Sarah Suhairi di pentas Big Stage musim pertama pada 2018 meletakkan dirinya sebaris dengan penyanyi muda yang sudah mencipta nama.

Meskipun selesa dengan setiap karya yang diketengahkan, Sarah bagaimanapun enggan terikat pada satu genre dalam nyanyiannya dan sanggup membuat eksperimen dengan mencuba pelbagai jenis lagu.

Sarah berkata, yang pasti dia kini dalam proses menyiapkan lagu terbarunya dan berharap karya bakal diperkenalkan itu akan disukai ramai peminat.

“Insya-Allah, sekarang saya masih berusaha menyiapkan lagu terbaru dan doakan semoga semua urusan penghasilan dipermudahkan.

“Untuk beberapa lagu akan datang, saya tak mahu lagi terikat dengan satu genre sahaja. Malah, saya masih mencari genre yang sesuai dan akan lebih rajin buat eksperimen.

“Apapun, sebelum ini saya sudah cuba genre balada dan rancak, jadi saya mahu hasilkan lagu yang berbeza pula untuk terus hiburkan peminat,” katanya.

Sarah mengakui kemampuan vokalnya kini tidak sehebat ketika menyertai Big Stage kerana sepanjang dalam program itu disediakan khidmat tenaga pengajar.

“Dulu, ada tenaga pengajar yang bantu, tetapi sekarang saya kena belajar sendiri.

“Terikat dengan jadual aktiviti seni yang padat membuatkan saya tidak berpeluang untuk meneruskan kelas vokal.

“Saya sedar kelemahan yang timbul membabitkan vokal itu, namun sekarang hanya ambil inisiatif untuk kembali belajar vokal secara serius.

“Saya belajar daripada kesilapan sebelum ini dan berjanji memperbaiki semula segala corak persembahan vokal,” katanya.

Ditanya mengenai penghasilan lagu berbahasa Korea, Sarah memberitahu dia masih tidak faham dengan kehendak pasaran muzik di negara ini.

“Untuk menghasilkan lagu Korea, saya masih tidak faham dengan kehendak pasaran di Malaysia.

“Saya perlu lihat sejauh mana permintaan untuk lagu Korea ini, jika rakyat Malaysia yang menyanyikan. Bagaimanapun, saya masih aktif menyanyikan lagu Korea di Instagram (IG),” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 7:45am
d