rap

Terjemah kelembutan Tun Siti Hasmah

Oleh Najiy Jefri

BUKAN mudah buat pelakon Fauziah Latiff melakonkan watak isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam filem Mahathir: The Journey arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan.

Membintangi filem yang mengangkat kisah perjuangan ikon negara, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas meletakkan jawatan Perdana Menteri keempat hingga dilantik semula pada 2018 menjadi satu penghormatan terbesar dalam kerjaya seni Fauziah atau lebih mesra disapa Jee.

Berpeluang bertemu Jee di lokasi penggambaran baru-baru ini, gaya, solekan dan tutur kata tidak tumpah seperti Tun Siti Hasmah.

Jee berkata, setiap sudut perlu diberi penekanan bagi memastikan filem itu dizahir dengan sebaik mungkin.

“Saya bersyukur diberi peluang membawa watak Tun Siti Hasmah. Ini juga filem pertama saya sepanjang bergelar anak seni. Saya akui, watak Tun Siti Hasmahsangat berat dan mencabar, tetapi saya cuba merealisasikan sebaik mungkin.

“Jujurnya, saya tidak boleh meniru 100 peratus karakter Tun Siti Hasmah terutama membabitkan intonasi, cuma perwatakan dan kelembutannya boleh diikuti.

“Saya membuat kajian selama dua hingga tiga bulan mengenai Tun Siti Hasmah menerusi buku, akhbar, saluran YouTube dan medium sosial lain,” katanya selepas penggambaran satu babak penting di sebuah hotel di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Hotel berkenaan menjadi lokasi bersejarah apabila Dr Mahathir bersama kepemimpinan tertinggi, Pakatan Harapan mengadakan sedia media pada malam pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 10 Mei 2018.

Menurut Jee, antara babak paling sukar yang perlu dibawakan adalah ketika membaca doa ketika Dr Mahathir tidur.

“Babak ini beremosi, Tun Siti Hasmah mendoakan suaminya. Saya perlu memastikan sebutan doa dengan betul dan lahir daripada hati seorang isteri.

“Saya tidak pedulikan orang sekeliling ketika mahu mengambil ‘mood’ untuk babak ini. Nak dapatkan ‘mood’ bukan boleh dipaksa-paksa, ia datang dengan sendirinya.

“Ini sebahagian cabaran menghidupkan watak Tun Siti Hasmah. Saya tidak melihatnya sebagai tekanan, tetapi pembelajaran berguna untuk kerjaya lakonan.

“Saya belajar sesuatu yang baharu setiap hari. Ilmu ini hanya datang bersama pengalaman, bukan boleh dibeli,” katanya.

Jee berkata, sepanjang menjalani penggambara itu cuba menyelami pengorbanan Tun Siti Hasmah ketika mengkaji karakternya.

“Saya membayangkan kelembutannya ketika berbicara. Saya berulang kali mempelajari ‘mimik muka’ yang suka dilakukan.

“Paling mencabar tentu menterjemah wataknya. Beliau seorang ikon negara, saya perlu meneliti wataknya dari hujung rambut hingga kaki.

“Saya tidak sempat bertemunya, hajat belum kesampaian lagi. Tetapi, saya meneliti karakter Tun Siti Hasmah melalui media sosial dan majlis yang dihadiri untuk mendapat gambaran.

“Saya banyak perhatikan pergerakan Tun Siti Hasmah terutama bahasa tubuh dan reaksi wajah yang dilakukan,” katanya

.

Selain Jee, filem terbitan Reliance Media Group Sdn Bhd itu diterajui pelakon berpengalaman, Azhar Amir sebagai Dr Mahathir.

Filem yang menelan belanja RM6 juta itu turut dibintangi Hilal Azman sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dian P Ramlee (Datuk Seri Wan Azizah Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan Muhamad Harminder Singh (Gobind Singh Deo).

Sehingga kini, pasukan produksi yang akan ke Hiroshima, Jepun pada bulan ini sudah menyelesaikan 70 peratus penggambaran di Malaysia.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 7:00am
d