rap

Seriau baring dekat mayat

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PERTAMA kali berlakon filem tentunya memberikan pengalaman baru buat pelakon remaja, Bella Dowanna.

Tidak hanya itu, ini juga pengalaman pertamanya membawakan watak yang berat dan perlu melakukan aksi yang tidak pernah dia sendiri jangkakan iaitu babak dirogol.

Namun kerana ingin menimba ilmu dalam bidang lakonan, Bella menerima tawaran untuk filem terbaru lakonannya, M4M4 yang menggandingkannya dengan pelakon hebat, Nabila Huda.

“Ketika saya ditawarkan untuk memegang watak sebagai Alya dalam filem ini, saya tak tahu bahawa jalan ceritanya adalah sebagai mangsa rogol. Tapi, saya terima saja kerana nak jadikan pengalaman,” katanya.

Dari situ, pelakon berusia 17 tahun ini banyak mendapat tunjuk ajar daripada pengarah, Eyra Rahman dan Nabila yang memegang peranan sebagai ibunya.

“Mereka banyak membantu saya untuk menjiwai watak Alya. Sedikit mencabar buat saya untuk mewujudkan karakter Alya

Sejujurnya, ada rasa kekok dan geli apabila perlu melakonkan babak dirogol tiga lelaki. Namun, semuanya berjalan lancar. Lagipun, ibu sentiasa ada bersama saya sepanjang penggambaran dan memberi semangat kepada saya,” katanya.

Menghasilkan keserasian dengan Nabila tidak sukar kerana dia adalah idola Bella dalam dunia lakonan.

“Bergandingan dengan Kak Abil (Nabila) tidak terlalu sukar kerana saya benar-benar ingin bergandingan dengan idola saya itu. Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai lakonan dan sebagainya,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran terbesarnya selain kesukaran untuk menjiwai watak Alya, Bella mengakui babak yang sukar adalah ketika berada di bilik mayat.

“Antara pengalaman yang saya akan ingat sampai bila-bila adalah ketika babak di bilik mayat, di mana penggambarannya berlangsung jam 4 pagi. Jadi, saya perlu berbaring di atas tempat mayat dan di sekeliling kami memang ada mayat,” katanya.

Pernah menerima didikan lakonan daripada Fauziah Ahmad Daud, Bella juga bakal membintangi drama bersiri Budak Tebing yang ditayangkan di slot Lestary TV3 bulan depan.

Selain Bella, drama bersiri itu turut dibintangi pelakon antaranya Aedy Ashraf dan Eyka Farhana.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 7:30am
d