rap

OAG masih wujud

Oleh Georgie Joseph

TIADA sebarang pertelingkahan dalam kumpulan OAG walaupun hanya penyanyinya, Radhi dilihat aktif meneruskan perjuangan kumpulan itu.

Radhi juga menggunakan khidmat pemuzik undangan ketika mengadakan persembahan dan bukannya anggota OAG.

Pemain dramnya, Qi Razali, 42, berkata, kekangan komitmen anggota lain termasuk dirinya mengehadkan pembabitan mereka dalam OAG.

“Memandangkan kami masing-masing ada komitmen sendiri selain OAG, kami harus membuat pilihan untuk mendahulukan mana yang patut. Namun, Radhi memang akan terus memperjuangkan OAG bagi pihak kami.

“Tiada gaduh-gaduh. Kami sepakat inilah jalan terbaik supaya OAG terus bertahan. Saya sendiri pun memang akan sentiasa terbuka bermain untuk OAG jika ada kelapangan. Saya akui tidak mampu memberikan komitmen dengan OAG buat masa sekarang termasuklah siri jelajah OAG 2020AG A New Beginning Tour yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Selain Qi dan Radhi, OAG pernah dianggotai Nizam (gitar), Adin (gitar), Ivan (gitar), Nazrin (bass), Edmund (bass), Lam (bass) dan Izmir (keyboard).

Qi yang juga pelakon dan pengacara berkata, semua anggota OAG kini dalam usaha untuk merealisasikan impian untuk mengadakan konsert reunion mereka seperti yang dihebahkan sebelum ini.

“Perancangan itu memang masih berjalan. Kami dalam proses untuk memastikan konsert itu akan berlangsung dan akan dibuat tahun ini juga.

“Apapun, biarlah Radhi teruskan dengan siri jelajah terbaru itu. Kami tetap akan berikan sokongan. Lagipun dia ada lagu baru untuk dipromosikan dan baguslah supaya peminat tahu OAG masih bikin muzik,” katanya.

Terdahulu, Radhi tampil dengan penjenamaan baru Radhi is OAG, OAG is Radhi dalam sebuah sidang media sekali gus menimbulkan teka-teki apakah status terbaru kumpulan itu sama ada masih bersama atau tidak.

Radhi turut melancarkan lagu solo berjudul #ORI dan mengumumkan siri jelajah berkenaan.

OAG 2020AG A New Beginning Tour akan bermula pada 8 Februari di Rockin Jamz Hall, Johor Bahru, 22 Februari (Insider Satellite, Ipoh), dan 23 Februari (Base Point, Petaling Jaya).

Tiket-tiket berharga RM50 (Early Bird), RM100 (VIP Pass), dan RM70 (Door) boleh didapati menerusi tix.famsymall.com/oagofficial.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 2:56pm
d