rap

'Kami baik-baik saja' - Kaka Azraff

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Kaka Azraff menafikan perkahwinannya dengan Adam Azriff bermasalah hanya kerana dia tidak lagi ‘follow’ atau mengikuti suaminya itu di Instagram.

Kaka ketika dihubungi berkata, hubungan mereka baik-baik saja dan tiada masalah. Apa yang berlaku hanyalah kesilapan teknikal apabila dia secara tidak sengaja tidak mengikuti suaminya di Instagram.

“Sebenarnya saya ‘terunfollow' dia saja,” katanya.

Kaka berkata, dia terkejut apabila soalan terbabit diajukan kepadanya kerana dia sendiri tidak menyedari perkara itu.

"Saya dan Adam bahagia dan sibuk menjaga anak kami Aslan yang kini berusia empat bulan. Sebenarnya tiada apa-apa yang berlaku. Saya akan mengikuti Instagram dia sekarang," katanya.

Menurut Kaka, sejak bergelar ibu dia berat hati untuk meninggalkan anaknya namun terpaksa melawan perasaan rindu.

"Setiap kali nak pergi kerja mesti hati saya berat nak berjauhan dengan anak. Hati saya seakan masih di rumah. Apabila sudah ada anak, kita rasa nak melekat saja dengannya tapi saya perlu rasional dan utamakan kerja dalam masa sama," katanya.

Katanya, dia dan suami akan bergilir-gilir menjaga Aslan namun sekiranya mereka bekerja, ibu mentua dan pembantu akan menjaganya.

Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan Aslan yang kini berusia empat bulan.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 5:15pm
d