rap

Niezam Zaidi 'sakit' dalam filem M4M4

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON Niezam Zaidi, 28, mengakui terbawa-bawa dengan watak Remi yang dilakonkannya dalam filem M4M4 ketika menjalani penggambaran filem itu.

Niezam berkata, dia sebenarnya ‘sakit’ ketika cuba menjiwai watak jahat dalam filem arahan Eyra Rahman itu.

"Sangat sakit. Itu saja yang dapat saya gambarkan perasaan saya untuk menjiwai watak sebagai Remi dalam filem itu. Ketika sedang menjalani penggambaran filem itu tahun lalu, saya tak banyak keluar rumah kerana saya terbawa-bawa dengan watak itu.

"Saya turunkan berat badan sehingga lima kilogram dan mula nampak 'masuk' dengan perwatakan Remi. Malah, ada kanak-kanak di kawasan kejiranan saya takut melihat penampilan saya ketika itu,” katanya.

Dalam filem itu, watak Remi yang dilakonkannya adalah anak muda yang ketagihan dadah dan dia bersama dua rakannya merogol remaja bernama Alya lakonan Bella Dowanna.

Menurut Niezam, dia juga hampir hanyut dengan watak itu.

"Ada satu tahap, saya rasa seperti hanyut dengan watak Remi. Namun, saya masih ada agama dan itulah yang menyelamatkan saya daripada terlalu terbawa-bawa dengan watak itu," katanya.

Di samping mengkaji identiti itu sendiri, Niezam juga menjadikan penyanyi rap, Kid Cudi sebagai rujukan.

"Saya jadikan Kid Cudi sebagai rujukan, tapi kebanyakannya saya gali sendiri untuk dapatkan identiti Remi itu. Selain itu, saya juga melihat persekitaran saya apabila ramai anak muda yang terjunam ke dalam masalah sosial dan tidak bermoral," katanya.

Filem M4M4 yang mula ditayangkan esok Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein dan ramai lagi.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 5:31pm
d