rap

PU Abu dapat anak lelaki

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENDAKWAH bebas yang kerap terpalit kontroversi, Pencetus Ummah (PU) Abu menerusi akaun Instagram berkongsi foto anak keduanya yang dilahirkan pada 1 Februari lalu.

Bayi lelaki yang diberi nama Muhammad Uwais Al-Mateen itu adalah hasil perkahwinannya dengan isteri, Hana Azraa.

“Syukur kepada Allah. Pada tanggal 1 Februari 2020, jam 6.59 pagi, lahirlah putera aku yang kedua dengan berat 3.12 kilogram.

“Moga menjadi anak yang soleh, kehidupanmu memberikan manfaat kepada orang lain dan paling penting dirimu mampu memberikan sumbangan kepada Islam,” tulisnya.

Abu juga turut mengucapkan terima kasih kepada isterinya yang disifatkan kuat untuk melahirkan anak mereka.

“Terima kasih Hana Azraa kerana kuat untuk melahirkan anak kita. Moga Allah membalas segala keperitan yang dirasai dengan syurga Firdaus. Terima kasih mummy,” tulisnya yang disertakan dengan emoji hati.

Perkongsian itu mendapat lebih 1,600 tanda suka dan pelbagai komen positif dan negatif daripada warganet.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro untuk menghubungi Abu tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Abu pernah berkahwin dengan Ain Afini Latif dan dikurniakan anak lelaki Muhammad Adam Aysar yang kini berusia lapan bulan.

Bagaimanapun, mereka bercerai dengan talak dua pada 16 Mei tahun lalu.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 6:38pm
d