rap

Publisiti percuma buat sajat

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KETIKA negara dikejutkan dengan kes wabak novel koronavirus baharu, muncul pula isu membabitkan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang tampil mengenakan pakaian wanita di Makkah dan Madinah ketika mengerjakan umrah.

Perkongsian Sajat di Instagram menyentap lena hampir keseluruhan penghuni di Malaysia sehingga memaksa menteri dan mufti berhujah memberikan pandangan mereka terhadap apa yang berlaku.

Hebat tak hebat penangan Sajat apabila perkara itu menjadi isu nasional. Sepanjang minggu ini saja boleh dikatakan hampir setiap masa cerita mengenainya mendapat liputan media.

Dari segenap isi cerita, semuanya sudah dibongkarkan termasuk jantina sebenar Sajat yang dilahirkan sebagai lelaki.

Namun, dalam pada kita terus memperkatakan isu ini, tanpa sedar kita sebenarnya sudah memberikan publisiti percuma buat Sajat termasuk rangkaian perniagaan dijalankan.

Walaupun komen netizen sebenarnya memaki hamun atas tindakan dibuat, tapi siapa sangka populariti Sajat terus meningkat.

Katalah apa pun mengenai dirinya hatta menghakimi umrah yang dibuatnya, tahukah anda Sajat tetap tidur lena dan masih mampu bergelak tawa di sana.

Hinggakan dia masih mampu memuat naik video memaparkan dirinya bersedekah kepada fakir miskin di sana. Sementara di Malaysia, jualan produk berjalan seperti biasa dan Sajat tetap menjadi kaya-raya.

Pernah dengar orang cakap, ‘publisiti yang buruk tetap publisiti’. Jadi, itu permainan yang cuba ditanam dalam diri Sajat sekarang. Malah, dari awal sebenarnya lagi. Seakan sudah ada perancangan rapi untuk semua yang berlaku.

Malangnya, rakyat Malaysia masih mudah diperdaya. Kelincahan jari mereka menulis komen tidak sepanjang akal fikiran. Kepetahan mereka berkata-kata tetap tewas dalam ‘kecantikan’ dipamerkan Sajat.

Jadi, intinya di sini, baik atau buruk yang dipamer Sajat, diam adalah langkah terbaik. Pedulikan apa yang dibuat. Mahu berguling atas jalan raya sekali pun, jangan jadikan masalah untuk diri anda.

Dia ada Instagram untuk meluahkan apa saja. Itu sudah memadainya. Dengan jumlah pengikut lebih sejuta, ‘mileage’ diterima Sajat lebih dari segalanya.

Anda yang tiada kena-mengena, usah menambah perhatian terhadapnya. Lebih baik fokus pada amal ibadat. Itu lebih berguna.

Percayalah, semakin anda memberikan perhatian buat dirinya, semakin besar publisiti diterima. Silap hari bulan, Sajat boleh dianugerahkan Bintang Paling Popular ciptaan Angkatan Tentera Bawang Malaysia. Fikir-fikirlah.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 6:30am
d